MAKLUMAN PENTING!! Sila maklum pada kami sekiranya anda telah bertukar ke mana-mana tempat pertukaran bagi pengemaskinian data ahli anda. Kerjasama anda amat dihargai. Terima kasih.

JUDUL BUKU TERKINI

Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural

Tuesday, June 19, 2012

Suasana di Perpustakaan Perlukan Perubahan


BOSAN tidak menarik dan hanya akan pergi sekiranya terpaksa sahaja. Itu adalah jawapan "jujur" yang diberikan tatkala ditanya akan pandangan orang ramai berkaitan dengan perpustakaan negara. 

Tidak sekadar itu, mereka juga menganggap gedung ilmu itu hanya sesuai bagi golongan kanak-kanak dan penuntut institusi pengajian tinggi serta tidak bagi mereka yang sudah melepasi dunia itu. Bagi komuniti ini, perpustakaan hanyalah sebuah institusi pencarian atau rujukan terbaik dalam proses melengkapkan kajian atau bidang penyelidikan. Walhal, objektif perpustakaan adalah luas termasuk meningkatkan budaya membaca masyarakat. 

Namun, untuk melabelkan golongan ini tidak membaca mungkin bukan satu percaturan yang tepat. Ini kerana, kewujudan pelbagai aplikasi teknologi hebat seperti iPhone, iPad, Blackberry membolehkan pembacaan berlaku di mana sahaja tanpa memerlukan mereka ke perpustakaan. 

Akan begitu, senario sebaliknya pula meruangi kedai-kedai buku ternama seperti MPH, Kinokuniya, Borders dengan pesta buku seperti jualan berkonsepkan gudang "pay less books." Jumlah pengunjung lebih ramai daripada perpustakaan, itu yang dapat diperkatakan. Ini sekali gus, menafikan dakwaan kewujudan teknologi mematikan minat mereka terhadap ilmu berbentuk konvensional, buku.  Namun, apa yang menghairankan ialah mereka lebih sanggup "membeli" buku di kedai-kedai buku berkenaan berbanding pembacaan secara "percuma" yang ditawarkan oleh perpustakaan negara ini. Mengapa? 

Bukan satu malah sudah terdapat pelbagai kajian dilakukan berkaitan dengan kepentingan kemudahan, persekitaran yang menarik dalam meningkatkan atau mewujudkan minat seseorang itu terhadap sesuatu perkara, hobi dan seumpamanya. Malah, dari sudut motivasi itu juga menekankan kepentingan "persekitaran" dalam kehidupan seharian manusia. Selain dapat meningkatkan semangat bekerja, ia juga dapat menarik minat serta membentuk diri seseorang untuk menjadi pencinta perpustakaan. 

"Maaf cakaplah, perpustakaan kita saiz sahaja besar tetapi hambar, malap, langsung tidak ceria dan terlalu skema. Kempen pelbagai pun tetapi kalau fizikal bangunan tidak menarik akan membuatkan orang tidak minat ke perpustakaan. Sebab itulah, saya rasa sudah tiba masanya perpustakaan berubah sekiranya mahu menarik lebih ramai yang datang," kata Mohd. Yunus Ismail. 

Beliau yang juga pensyarah Fakulti Tari di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) turut berpandangan pengurusan perpustakaan yang agak "tidak mesra pengguna" seperti perlu mematuhi pelbagai peraturan menyebabkan orang ramai lebih cenderung ke kedai buku.  Bukan sahaja suasananya yang lebih santai, malah susunan buku, perabot, penataan cahaya lampu secukupnya, seni bina yang lebih moden, kontemporari, pemilihan warna, sekali gus menarik minat orang ramai untuk memilih kedai buku berbanding perpustakaan. 

Apatah lagi, pengurusan kedai buku yang membenarkan pengunjung membaca tanpa adanya paksaan membeli, menjadi faktor penting mengapa kedai buku ternama seperti MPH, Kinokuniya sentiasa dibanjiri orang ramai. 

Ketinggalan 
Faktor "suasana" bukanlah satu-satunya perkara yang menyebabkan seseorang itu lebih cenderung ke kedai buku berbanding perpustakaan. Harus diingat, koleksi genre yang ada di sesuatu perpustakaan itu juga memainkan peranan penting, yakni sebagai faktor tarikan ke gedung ilmu itu. Dalam satu laporan artikel oleh Library Journal, Profesor yang juga merangkap Pustakawan Rujukan di Brooklyn College, Renee Feinberg menyedari bahawa kebanyakan pelajar kolej lebih gemar menggunakan kedai buku Barnes & Noble sebagai perpustakaan mereka. 

Ini berdasarkan hasil temuramah dengan 20 pelajar kolej. Dalam temuramah itu, mereka ditanya mengapa menggunakan kedai buku seolah-olah seperti perpustakaan dan respon yang diberikan ialah buku lebih up-to-date, lebih khusus, koleksi banyak dan mencukupi.  Selain itu, kedai buku yang beroperasi sehingga malam berbanding perpustakaan menyebabkan mereka selesa menjadikannya sebagai perpustakaan untuk proses pembelajaran dan kajian. 

Pandangan itu turut diakui oleh koreografer dan penari terkenal, Dr. Joseph Gonzales dalam satu tembual bersama Bernama baru-baru ini. 

"Buku yang saya suka mungkin tidak dapat dicari di perpustakaan. Ini kerana, buku dalam bidang yang saya minat ini (seni) tidak banyak dan susah hendak cari. Disebabkan itulah, saya lebih suka pergi MPH, Borders ataupun beli melalui online di amazon.com," katanya. 

Mungkin tidak salah sekiranya menyatakan bahawa perpustakaan negara kita agak ketinggalan dalam faktor ini, penyediaan ruang kafe di gedung ilmu itu. Tidak bermaksud membuat spekulasi bahawa perpustakaan negara ini tidak dilengkapi dengan kemudahan kafe, namun selalunya ia berada di lokasi tidak bersesuaian, iaitu pemisahan antaran himpunan buku dan tempat menjamu selera.  Berbanding kedai buku, kafenya berada berdekatan dengan rak-rak buku sekali gus memudahkan pengunjung untuk menjamu selera. 

Selain itu, pengunjung juga dibenarkan untuk membawa buku ke kafe sekali gus adalah alasan terbaik mengapa mereka memilih kedai buku! Kalau dilihat di negara barat, kebanyakan kafe berada dalam perpustakaan itu sendiri seperti The Farminton Library (Connecticut), The Hartford Public Library (Connecticut), Brooklyn Main Library (New York) dan Burlington County (New Jersey).  Bukan sahaja kafe, malah keterbukaan pengurusan perpustakaan di sana yang membenarkan mereka membawa kopi, muffin ke ruang pembacaan, sememangnya memberi keselesaan kepada pengunjung.  Keterbukaan ini sekali gus meningkatkan jumlah pengunjung ke perpustakaan. Ini berdasarkan rekod yang dicatatkan oleh Multnomah County Library di Portland Oregon. 

Bukan sahaja mempunyai kafe dalam perpustakaan malah strategi mereka menempatkan Starbucks telah berjaya meningkatkan jumlah pinjaman sebanyak lapan juta buku setahun. 

"Saya pernah pergi perpustakaan di Esplanade, Singapura. Di sana, saya boleh bawa kopi ke meja pembacaan dan ia sangat mesra pengguna asalkan jaga tatasusila," kata Mohd. Yunus. 

Bagaimanapun, ujar Mohd. Yunus suasana sedemikian tidak berlaku di perpustakaan negara ini. Mengulas lanjut: "Mungkin disebabkan faktor takut air minuman tumpah sekali gus merosakkan buku menyebabkan perpustakaan kita tidak membenarkan wujudnya senario sedemikian." 
 
— Bernama ( 2 Mac 2012)

No comments:

Post a Comment

Terima kasih di atas komen / cadangan anda...


Perpustakaan, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia