Thursday, March 22, 2012

Mengenali Penyakit Talasemia

Talasemia (bahasa Inggeris: Thalassaemia) adalah penyakit kecacatan darah. Talasemia merupakan keadaan yang diwarisi, iaitu diwariskan dari keluarga kepada anak. Kecacatan gen menyebabkan hemoglobin dalam sel darah merah menjadi tidak normal. Mereka yang mempunyai penyakit Talasemia tidak dapat menghasilkan hemoglobin yang mencukupi dalam darah mereka. Hemoglobin adalah bahagian sel darah merah yang mengangkut oksigen daripada paru-paru keseluruh tubuh. Semua tisu tubuh manusia memerlukan oksigen. Akibat kekurangan sel darah merah yang normal akan menyebabkan pesakit kelihatan pucat kerana paras hemoglobin (Hb) yang rendah (anemia).

Sel darah merah bertugas membekalkan oksigen kepada tisu dalam badan manusia. Kekurangan sel darah merah bagi membekalkan oksigen akan mengakibatkan pesakit talasemia berasa lesu, tidak bermaya, dan mungkin sesak nafas sekiranya paras hemoglobin semakin menurun.

Mereka yang mengidap Thalassaemia tidak mampu membekalkan seluruh sel tubuh mereka denga bekalan oksigen yang mencukupi akibat kekurangan hemoglobin dalam sel darah merah. Tisu yang ketiadaan oksigen gagal berfungsi dengan baik. Dengan itu tubuh mereka menjadi lemah, gagal berkembang dengan baik, dan mereka boleh menjadi sakit teruk.

Pesakit Talasemia biasanya mempunyai paras hemoglobin yang rendah iaitu kurang daripada 10g/dl. Mereka yang mengidap Talasemia mempunyai kelebihan melawan penyakit Malaria.

Jenis Talasemia

Terdapat dua jenis Talasemia iaitu:
  • Talasemia minor : Talasemia minor merujuk kepada mereka yang mempunyai kecacatan gen talasemia tetapi tidak menunjukkan tanda-tanda talasemia atau pembawa.
  • Talasemia major : Talasemia major merujuk kepada mereka yang mempunyai baka talasemia sepenuhnya dan menunjukkan tanda-tanda talasemia.

Pembawa Malaysia

Biasanya penghidap Talasemia tidak menunjukkan apa-apa tanda atau masalah kesihatan. Pengesanan hanya boleh menurunkan gen Talasemia kepada anak-anaknya. Sekiranya salah seorang ibu atau bapa adalah pembawa, keadaan berikut boleh berlaku. Peratusan risiko untuk setiap kehamilan;
— 50% kemungkinan adalah pembawa
— 50% kemungkinan adalah normal
— Tiada anak yang menghidap Talasemia(talasemia major)

Pesakit Talasemia

Sekiranya kedua-dua ibu dan bapa adalah pembawa keadaan berikut boleh berlaku;
— 25% kemungkinan anak mereka adalah pesakit Talasemia
— 50% kemungkinan anak mereka adalah pembawa
— 25% kemungkinan anak mereka adalah normal
(Nota: Pesakit Talasemia biasanya mempunyai paras hemoglobin yang rendah iaitu kurang daripada 10g/dl.)

Tanda dan gejala penyakit Talasemia

  • Biasanya anak-anak pembawa Talasemia kelihatan normal sewaktu dilahirkan. Bagaimanapun, mereka akan mulai mengalami masalah anemia yang serius apabila mencapai usia di antara 13 hingga 18 bulan.
  • Tubuh pucat,lemah, dan gelisah.
  • Anemia yang serius boleh menyebabkan kesukaran bernafas.
  • Jaundis
  • Tumbesaran terbantut
  • Perut buncit disebabkan pembengkakan hati dan limpa.
  • Perubahan pembentukan tulang muka, pipi, dan rahang yang tidak normal(tanda lewat).

Rawatan penyakit Talasemia

  • Pesakit perlu menjalani transfusi darah berterusan setiap bulan.
  • Transfusi darah berterusan akan menyebabkan pengumpulan zat besi di dalam organ penting badan seperti hati, jantung, dan kelenjar endokrin yang akhirnya merosakkan fungsi organ-organ tersebut.
  • Rawatan penyingkiran zat besi berlebihan perlu dilakukan dengan suntikan ubat Desferrioxamine.
  • Pemindahan sum-sum tulang sekiranya ada penderma yang sesuai di kalangan keluarga.

Saringan Talasemia

Saringan ujian darah untuk Talasemia boleh dijalankan di semua klinik dan hospital, sama ada kerajaan atau swasta. Jalanilah ujian darah tersebut untuk mengetahui status penyakit anda. Pesakit Talasemia memerlukan transfusi darah setiap bulan. Tanpa rawatan yang sempurna, beberapa komplikasi boleh berlaku dan lazimnya mereka akan meninggal dunia di usia remaja.

Persatuan Talasemia Malaysia

Projek Persatuan Talasemia Malaysia untuk menghubungkan para pesakit talasemia, ibu bapa, dan penjaga dengan anggota komuniti terpinggir (contohnya, komuniti luar bandar). Tujuannya untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat tentang penyakit berkenaan, mewujudkan hubungan dua hala yang interaktif dengan mewujudkan pangkalan data yang memudahkan kajian dan pembentukan polisi.



Thursday, March 15, 2012

Sayangi jantung anda





Lebihkan makan sayur-sayuran dan buah-buahan untuk cara pemakanan yang seimbang. - Gambar hiasan

PADA dasarnya, penyakit jantung adalah pembunuh senyap di kalangan wanita yang boleh diibaratkan sebagai bom jangka yang menunggu masa untuk meletup. Menurut data yang dikeluarkan oleh Pemantauan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) Malaysia 2005/2006, faktor risiko NCD yang jelas, seperti hiperkolesterolemia, kenaikan glukosa darah, obesiti (kegemukan) dan sebagainya adalah lebih tinggi di kalangan wanita berusia 25 hingga 64 tahun berbanding lelaki dalam kumpulan usia yang sama. 
 
Menurut Pakar Perunding Kardiologi, Datuk Dr. Khoo Kah Lin, yang juga Pengarah Yayasan Jantung Malaysia (YJM), penyakit jantung adalah pembunuh nombor satu di kalangan wanita di Malaysia dan di seluruh dunia sejak berpuluh-puluh tahun lamanya.
"Penyakit jantung sentiasa dianggap sebagai penyakit lelaki kerana kaum lelaki mendapat penyakit ini 10 tahun sebelum wanita. 

"Wanita dilindungi daripada penyakit jantung oleh tahap estrogen yang tinggi. Bagaimanapun, ini tidak bermakna wanita 'imun' atau lali kepada penyakit ini,” jelasnya.
Tambah Dr. Kah Lin, tahap estrogen turun apabila wanita sudah menopaus atau putus haid. Tahap trigliserida dan LDL (kolesterol jahat) di kalangan wanita yang berumur juga naik, bukan sahaja disebabkan menopaus tetapi juga disebabkan kenaikan berat badan dan penuaan. Semua ini menaikkan risiko penyakit jantung di kalangan wanita. 

Jadi, sebelum putus haid, risiko wanita mendapat sakit jantung adalah lebih rendah berbanding lelaki. Namun, keadaan berubah apabila putus haid. Risiko wanita mendapat penyakit jantung kini setara dengan lelaki. 

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kesedaran umum terhadap kesihatan wanita, khususnya berkaitan kanser payu dara dan kanser serviks (pangkal rahim), telah meningkat. 

Kini wanita lebih menyedari tentang penyakit ini dan tahu cara untuk mengambil langkah pencegahan yang perlu untuk menjaga kesihatan mereka. Tetapi mengapa penyakit pembunuh nombor satu di kalangan wanita ini tidak mendapat perhatian yang sewajarnya? 

Inilah yang mendorong Kah Lin berusaha meningkatkan kesedaran di kalangan wanita, khususnya mereka yang berisiko tinggi. Baru-baru ini, Kah Lin sempat ditemuramah tentang usahanya meningkatkan kesedaran sakit jantung di kalangan wanita dan risiko yang dihadapi golongan ini.
 


1) Soalan
Walaupun mempunyai jadual tugas yang sibuk, Datuk tetap memainkan peranan aktif untuk menggerakkan kempen Go Red for Women di Malaysia sempena Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac. Mengapa? 

Jawapan
Sebagai ahli Persekutuan Jantung Dunia, YJM ingin memainkan peranan dalam usaha menonjolkan penularan penyakit jantung di kalangan wanita. Sebagai seorang pakar kardiologi, saya berpendapat bahawa kesihatan jantung di kalangan wanita patut diberi lebih perhatian.  

Wanita menjaga semua orang di keliling mereka, tetapi mereka sering mengabaikan diri mereka sendiri dalam proses menjaga orang lain. Kempen antarabangsa Go Red for Women bertujuan untuk mengurangkan penyakit kardiovaskular (CVD) di kalangan wanita dengan meningkatkan kesedaran global dan komitmen kepada CVD di kalangan wanita. 

2) Soalan
Bukankah penyakit jantung lebih kerap menyerang lelaki daripada wanita? 

Jawapan
Pada umumnya, penyakit jantung memang dianggap menyerang kebanyakan lelaki, malah pakar penjagaan kesihatan profesional sendiri memberi lebih tumpuan kepada lelaki daripada wanita.

Salah tanggapan inilah sebenarnya yang menyebabkan kita perlu mendidik orang ramai amnya dan wanita Malaysia khususnya, tentang serangan penyakit jantung di kalangan wanita.

Seorang dalam setiap empat wanita Malaysia mati akibat penyakit jantung yang juga merupakan punca utama kematian di kalangan wanita. Kematian akibat sakit jantung adalah 2.5 kali lebih tinggi daripada kematian akibat semua penyakit kanser. Malah, dari tahun 1990 hingga 2005, penyakit jantung di kalangan wanita meningkat sehingga 135 peratus.

3) Soalan
Mengapa kadar kematian wanita yang disahkan sakit jantung begitu tinggi?

Jawapan
Biasanya saiz wanita adalah lebih kecil berbanding dengan lelaki. Ini menyukarkan rawatan, terutamanya apabila menggunakan kaedah angioplasti dan pembedahan bypass kerana saluran darah adalah lebih kecil.

4) Soalan
Apakah punca utama penyakit jantung di kalangan wanita?
  
Jawapan
Faktor risiko penyakit jantung adalah sama di kalangan lelaki dan wanita. Faktor yang paling tinggi menyumbang kepada penyakit jantung ini adalah Diabetes Mellitus, yang turut dikenali dengan risiko bersamaan kardiovaskular.

Ini bermakna, sekiranya anda merupakan pesakit diabetes, besar kemungkinan anda mempunyai penyakit jantung. Selain itu, obesiti, kolesterol tinggi, hipertensi, pengambilan lemak secara berlebihan, kurang bersenam, dan merokok turut menjadi faktor penyumbang kepada penyakit jantung.

Tambahan pula, risiko CVD di kalangan wanita menjadi lebih tinggi apabila usia mereka meningkat, disebabkan perubahan fisiologi yang dikaitkan dengan usia pertengahan dan menopaus, iaitu perlindungan semula jadi mereka daripada penyakit jantung.
Estrogen berkurangan apabila putus haid. Namun, wanita lebih muda juga perlu menjaga kesihatan jantung mereka.

5) Soalan
Saya dapat tahu kesedaran terhadap gejala awal serangan jantung boleh menyelamatkan nyawa. Apakah gejala jelas yang menandakan serangan jantung di kalangan wanita?

Jawapan
Faktor risiko di kalangan wanita adalah sama seperti lelaki, tetapi wanita yang mengalami serangan jantung mungkin tidak menunjukkan tanda amaran seperti lelaki. Angina atau lebih dikenali sebagai sakit dada, adalah tanda amaran awal serangan jantung.
Anda akan rasa himpitan dalam dada secara mendadak yang kemudian merebak ke lengan.
Ini adalah kerana jantung anda tidak mendapat cukup oksigen disebabkan pengumpulan plak dalam arteri jantung. Selain daripada itu, anda akan merasa sakit di bahagian rahang, bahagian depan leher dan juga lengan, terutamanya lengan kiri, kadang-kala sakit pada kedua-dua lengan dalaman. Gejala-gejala yang lain termasuk sukar bernafas dan keletihan.

6) Soalan
Seperti yang sering dikatakan, pencegahan adalah lebih baik daripada mengubati. Jadi, soalan penting ialah bagaimana saya, sebagai seorang wanita, boleh mencegah serangan jantung?

Jawapan
Mengekalkan berat badan yang sihat adalah cara yang berkesan untuk menjaga kesihatan jantung. Amalkan gaya hidup sihat dengan bersenam secara sederhana setiap hari selama 30 minit. Makan secara sederhana dan ambil makanan yang sihat untuk jantung.
Pilih makanan serat tinggi dan rendah lemak dan kurangkan pengambilan garam. Satu lagi langkah pencegahan yang mudah tetapi sangat berkesan ialah berhenti merokok, kerana merokok merosakkan jantung dan saluran darah.

Kawal tekanan darah dan tahap kolesterol andadan ketahui sejarah keluarga anda sama ada terdapat anggota keluarga yang menghidap diabetes, tekanan darah tinggi dan sakit jantung dalam usia muda (bawah usia 55 tahun bagi lelaki dan bawah usia 65 tahun bagi wanita).
Ini seharusnya memberi isyarat amaran awal untuk anda memberi lebih perhatian kepada kesihatan jantung anda.

Wednesday, March 14, 2012

Latar Belakang Akademi Bomba Dan Penyelamat Malaysia




Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai mempunyai keluasan 100 hektar dan dibina pada tahun 2000. Majlis pecah tanah pembinaan telah disempurnakan oleh Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan YB Dato Dr. Ting Chew Peh pada tahun 1999. Pada 7 Oktober 2002, Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai mula beroperasi dan di ketuai oleh Ketua Latihan Penolong Penguasa Bomba Mohd Kharu bin Sulaiman. Seramai 36 orang kakitangan telah ditempatkan di akademi ini yang merangkumi pelbagai pangkat. Kakitangan ini ditempatkan secara pentadbiran di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri dan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Kubu Bahru. Pada 15 Oktober 2002, seramai 236 orang pelatih Gred KB 11 melapor diri untuk mengikuti Kursus Asas Sains Kebombaan.

Pada tahun 2002, Organisasi Pentadbiran yang terdapat di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai iaitu Ketua Pegawai Latihan, Ketua Pentadbir Latihan, Ketua Akademi, Sekolah Operasi, Sekolah Pengurusan, Sekolah Undang-Undang, Sekolah Kejuruteraan, Sekolah Keselamatan Kebakaran, Unit Bantuan Latihan, Unit Data & ICT dan Unit Asrama. Pada Februari 2003, Penguasa Bomba Hj. Ahmad Tarmidzi bin Khalil telah dilantik sebagai Pegawai Latihan menggantikan Penolong Penguasa Bomba Mohd Kharu bin Sulaiman. Sebelum ini beliau bertugas di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Terengganu. Pada tahun 2003, kakitangan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai adalah seramai 73 orang dan seramai 311 orang pelatih Gred KB 11 telah melapor diri untuk mengikuti Kursus Asas Sains Kebombaan. Pada tahun ini juga, terdapat kursus lain dianjurkan iaitu Kursus Pengukuhan Kawad Kaki dan Kursus Peralihan Persaraan iaitu seramai 125 orang.

Pada Jun 2004, Penolong Pesuruhjaya Bomba Nordin bin Pauzi yang sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Malaysia Putrajaya telah dilantik sebagai Komandan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai. Pada masa ini, kakitangan akademi adalah seramai 84 orang dan 14 orang perjawatan gunasama telah diwujudkan. Pada 16 September 2004, Tuan Hj. Mohd Zain bin Shamsuddin telah dilantik Ketua Khidmat Pengurusan. Pada 1 Mei 2005, kakitangan akademi adalah seramai 139 orang dan sekolah telah ditukarkan nama sebagai pusat pengajian. Pada tahun 2005, simulator untuk latihan telah dibina sebagai untuk memantapkan lagi kemahiran anggota bomba dalam tugas pemadaman dan penyelamatan. Pada 15 April 2008, Penguasa Kanan Bomba I Norazam bin Khamis telah dilantik sebagai Komandan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai .Pada situasi semasa kakitangan akademi adalah seramai 144 orang.

Dalam mencapai ke arah kecemerlangan, pihak pengurusan akademi telah berjaya mendapatkan pengikhtirafan daripada SIRIM bagi Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2008 pada 19 Oktober 2008.




FUNGSI

  • Merancang dan melaksanakan latihan dalam perkhidmatan pegawai & anggota Bomba dalam bidang kebombaan berdasarkan skim perkhidmatan. Dasar Latihan 1986 & Sistem Saraan Baru 1992 & memorandum JPA 63/138KH.I(15) 1994.
  • Melaksanakan latihan kepada kakitangan perkhidmatan Awam dalam bidang keselamatan kebakaran (Arahan perkhidmatan Bab 8, Sesyen 2 (a), (b) dan (c). 
  • Merancang dan melaksanakan Latihan kebombaan untuk pasukan Bomba daripada negara ASEAN & negara Dunia ketiga. (Program Bantuan Teknikal, Malaysian Technical Co-operation Programme). 
  • Merancang dan melaksanakan Latihan kebombaan untuk Pegawai Keselamatan Kebakaran Bangunan (Industri & Komersial) menerusi (Akta 341, Akta Perkhidmatan Bomba 1988;Seksyen62(1)c). 
  • Merancang, mengurus dan mengendalikan peperiksaan perkhidmatan dan peperiksaan khas bagi tujuan kenaikan pangkat bagi setiap skim perkhidmatan.

Tuesday, March 13, 2012

Perbezaan Antara Marjerin Dan Mentega

Marjerin
Mentega

 Marjerin pada asalnya bahan yang dihasilkan bagi menggemukkan ayam belanda (turkey). Apabila ia menyebabkan kematian kepada haiwan terbabit, orang yang melabur wang mereka dalam kajian itu mahukan wang mereka semula lalu memerah otak untuk mencari jalan apa yang mahu dibuat dengan barangan tersebut bagi mendapat semula wang pelaburan mereka.

Ianya adalah sebatian bahan berwarna putih yang tidak menyelerakan lalu mereka tambah pewarna kuning dan menjual kepada orang ramai sebagai ganti mentega. Suka tak? Mereka dengan liciknya telah menghasilkan marjerin dengan pelbagai perasa baru. 

TAHUKAH ANDA ...perbezaan antara marjerin dan mentega?

Bacalah sehingga ke akhirnya…anda tentu tertarik! Kedua-duanya mempunyai jumlah kalori yang sama. Mentega sedikit tinggi kandungan lemak tepunya sebanyak 8 gram berbanding 5 gram pada marjerin. Dengan memakan marjerin boleh meningkatkan penyakit jantung pada wanita sebanyak 53% berbanding memakan jumlah sama mentega, menurut Kajian Perubatan Harvard yang terbaru.

Memakan mentega meningkatkan penyerapan banyak nutrien lain dalam makanan. Mentega mempunyai banyak faedah nutrisi berbanding marjerin kerana ia adalah makanan tambah nilai!

Mentega lebih enak berbanding marjerin dan ia boleh menaikkan rasa makanan lain. Mentega sudah pun wujud selama berabad-abad sedangkan marjerin terhasil kurang dari 100 tahun.

Dan sekarang kita bercakap tentang marjerin. Ia sangat tinggi kandungan asid lemak Trans. Meningkatkan risiko penyakit jantung koronari sebanyak tiga kali ganda. Ia meningkatkan kolesterol total serta LDL (kolesterol berbahaya) dan menurunkan HDL (kolesterol bagus). Marjerin menaikkan risiko penyakit barah sebanyak lima kali ganda. Ia mengurangkan jumlah susu badan. Ia juga merendahkan respons pertahanan tubuh serta keberkesanan insulin semula jadi badan.

Dan ini ialah fakta yang paling membimbangkan … INI IALAH BAHAGIAN YANG SANGAT MENARIK!

Marjerin hanya kekurangan SATU MOLEKUL untuk menjadi PLASTIK. Fakta ini sahaja sudah cukup membuatkan saya mengelak dari memakan marjerin seumur hidup saya dan setiap barangan yang melalui proses hidrogenasi (ia bermakna hidrogen ditambah, mengubah struktur molekul bahan).

Anda boleh cuba melakukan ujikaji ini:

Belilah satu mangkuk marjerin dan tinggalkan ia dalam garaj mahupun tempat teduh. Dalam masa dua hari anda akan dapati dua perkara berikut:

*tiada lalat yang menghurung, tidak juga lalat buah akan menghampirinya (ia sepatutnya memberitahu sesuatu kepada anda)

*ianya tidak akan membusuk atau bertukar baunya kerana ia tiada nilai-nilai nutrisi; tidak akan ada apa yang tumbuh atasnya. Hatta satu mikro-organisma juga tidak akan membiak atasnya. Kenapa? Kerana ia sangat hampir kepada plastik. Mahukah anda meleburkan Tupperware dan menyapu ia ke atas roti anda?

Dipetik dari Rense.com

Thursday, March 8, 2012

SBPA Batal, SSM Akan Ditambahbaik - Najib

Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN (mstar.com.my)
 
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada Khamis mengumumkan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang diperkenalkan pada 1 Januari lalu akan dimansuhkan.
Sehubungan itu, 1.4 juta kakitangan awam akan tertakluk kepada Sistem Saraan Malaysia (SSM).
Najib, turut mengumumkan penubuhan sebuah suruhanjaya khas yang dianggotai oleh semua pihak berkepentingan bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia.
"Selaras dengan komitmen kerajaan sebagaimana yang diumumkan dalam ucapan belanjawan 2012 suka saya umumkan pelarasan gaji berdasarkan Jadual Gaji Matriks (JGM) SSM," katanya pada Perhimpunan Khas Penjawat Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Najib berkata, kerajaan juga bersetuju menaikkan kadar Bantuan Sara Hidup (COLA) bagi kawasan B dinaikkan daripada RM200 sebulan kepada RM250, dan bagi kawasan C kadarnya dinaikkan daripada RM100 sebulan kepada RM150 sebulan.
Menurutnya, struktur gaji SSM akan diubah suai daripada jadual Gaji Matriks kepada Jadual Gaji minimum-maksimum dengan kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi Gred 1 hingga 54 ditetapkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred.
Kadar KGT bagi JUSA dan ke atas pula kekal menggunakan Kenaikan Gaji Tahunan SSM dengan diberikan pelarasan mengikut peratusan yang ditetapkan.
"Kerajaan turut bersetuju Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK), Bayaran Insentif Wilayah (BIW), Bayaran Insentif Pedalaman (BIP) dan Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP) dikekalkan pelaksanaannya mengikut peraturan sedia ada di bawah SSM.
"Kepada para guru jangan gundah gulana. Kerajaan amat komited terhadap kebajikan dan prihatin terhadap kebimbangan anda. Di sini saya mengumumkan bahawa kerajaan akan mengekalkan keputusan penambahbaikan laluan kerjaya berasaskan prinsip 'time-based' Pegawai Perkhidmatan Pendidikan seperti yang diumumkan dalam Bajet 2012," katanya.
Justeru, Najib berharap keputusan tersebut dapat meredakan ketidakpuasan hati yang wujud di kalangan penjawat awam di semua peringkat.
"Bagi isu-isu lain berkaitan perkhidmatan dan skim perkhidmatan, perkara ini akan dikaji oleh suruhanjaya yang saya umumkan.
"Saya berdoa ke hadrat Allah SWT agar keputusan yang dibuat ini mudah-mudahan menjadi penyelesaian terbaik bagi manfaat seluruh penjawat awam," katanya.
Najib berkata bagi menjayakan segala perubahan dalam perjalanan menuju matlamat untuk transformasi negara, peranan yang penting terletak di bahu penjawat awam keseluruhannya.
Menurutnya, SBPA yang diperkenalkan awal tahun ini mengundang keresahan, rasa terkilan dan perasaan tidak puas hati penjawat awam, dan oleh kerana kerajaan semasa adalah kerajaan yang prihatin serta mengenang jasa dan budi, ia mendengar keluh kesah rakyat.
"Kita bukan seperti puak-puak yang belum berjaya membentuk kerajaan sudah mahu membuang kakitangan awam," katanya.
Sebuah pasukan petugas yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam kemudiannya ditubuhkan dan diberi tempoh tiga bulan untuk meneliti semua aduan serta maklumat balas yang dikemukakan.
Ia diberi tanggungjawab mengemukakan cadangan penyelesaian kepada kerajaan.
Antara pelarasan gaji yang diumumkan mengikut gred-gred adalah seperti berikut:
1) Pelarasan gaji sebanyak 13 peratus bagi kumpulan pengurusan dan profesional dan kumpulam pelaksana di Gred 1 hingga Gred 54.
2) Pelarasan gaji sebanyak 9 peratus untuk gred utama dan gred khas C, B dan A.
3) Pelarasan gaji sebanyak 8 peratus untuk Turus III dan Turus II.
4) Pelarasan gaji sebanyak 7 peratus untuk Turus 1 dan Ketua Setiausaha Negara.

Wednesday, March 7, 2012

Ciri-Ciri Manusia Unggul

Oleh : Bahagian Penerbitan, JAKIM

Pendahuluan
 Manusia unggul adalah mereka yang memenuhi ciri-ciri individu Islam yang sebenarnya menurut kehendak Al-Quran dan as-Sunnah dalam seluruh aspek kehidupan. Bagi mewujudkan manusia unggul, seseorang itu hendaklah memiliki ciri-ciri keunggulan iaitu keimanan yang utuh, amal ibadat yang meliputi ibadat khususiah dan fardhu kifayah dan akhlak mulia yang merupakan cermin keimanan dan amal salih. 

1. Keimanan Yang Utuh
 Keimanan kepada Allah swt adalah paksi pembinaan negara dan ummah. Dengan keimanan itu akan lahirlah individu yang unggul dan masyarakat yang berbudi luhur, berdisiplin dan beramanah demi kebaikan dunia dan akhirat. Allah swt berfirman dalam surah al-Asr:
' Demi masa sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian kecuali orang yang beriman dan beramal salih yang berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran'.
( Surah al-Asr : 1-3 ) 

Dalam ayat ini Allah swt menjelaskan bahawa manusia yang beruntung ialah mereka yang beriman dan beramal salih. Beriman kepada Allah adalah proses peralihan jiwa manuisa daripada menganggap dirinya bebas daripada sebarang kuasa dan ikatan serta tanggungjawab kepada ketundukan mengaku tanpa syarat bahawa tiada ýTuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah. Iman merangkumi tiga unsur utama, pengetahuan yang mendalam, kepercayaan yang jitu dan keyakinan yang teguh. Ketiga-tiga unsur ini akan membentuk iman yang kukuh yang menjadi tonggak kekuatan ruhaniyah yang cukup kental untuk membina jiwa dan jasmani manusia. Keteguhan iman juga merupakan penghalang daripada melakukan kejahatan dan maksiat. 

2. Pelaksanaan Amal Ibadat 
 Keimanan tanpa ketaatan melalui amal ibadat adalah sia-sia. Seseorang yang berperibadi unggul akan tergambar jelas keimanannya melalui amal perbuatan dalam kehidupan sehariannya. Bahkan jika dikaji tujuan Allah menjadikan manusia itu sendiri ialah supaya beribadat kepada-Nya. Firman Allah swt :
' Tidak Aku ciptakan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadat'.
( Surah az-Zariat : 56 )

 Ibadat adalah bukti ketundukan seseorang hamba setelah mengaku beriman kepada Tuhannya. Ibadat yang dimaksudkan di sini termasuklah ibadat khususiah yang menyentuh fardhu ain dan juga fardhu kifayah yang merangkumi hubungan manusia sesama manusia.
Justeru itu, bagi individu yang berperibadi unggul, seluruh hidupnya baik hubungannya dengan Pencipta ataupun masyarakat adalah dianggap ibadat. Allah swt berfirman:
' Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman iaitu orang yang khusyu’ dalam sembahyangnya, orang yang menjauhkan dirinya (dari perbuatan) yang tidak berguna, orang yang menunaikan zakat dan orang yang menjaga kehormatannya kecuali terhadap isteri-isterinya atau hamba yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela'.
( Surah al-Mukminun : 1-6 )

3. Akhlak Mulia 
Akhlak mulia bagi peribadi unggul adalah hasil keimanan yang kental. Ini disebabkan tali ikatan yang menjalinkan hubungan antara individu dengan masyarakat terbentuk melalui nilai-nilai dan disiplin yang diamalkan oleh anggota masyarakat tersebut. Sekiranya nilai yang diamalkan itu positif maka akan lahirlah sebuah masyarakat yang aman, damai, harmoni dan diselubungi roh Islam. Rasulullah saw adalah contoh utama pembentukan akhlak. Dalam sebuah hadith, baginda saw bersabda,
'Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia'.
( Riwayat Ahmad )

 Beberapa nilai yang baik dalam akhlak Islam yang menjadi tonggak amalan bagi melahirkan individu unggul ialah:
a) AmanahAmanah adalah sifat mulia yang mesti diamalkan oleh setiap orang. Ia adalah asas ketahanan umat, kestabilan negara, kekuasaan, kehormatan dan roh kepada keadilan. Firman Allah swt:
' Maka tunaikanlah oleh orang yang diamanahkan itu akan amanahnya dan bertaqwalah kepada Allah, Tuhannya'.
( Surah al-Baqarah : 283 )

b) IkhlasIkhlas adalah inti setiap ibadah dan perbuatan. Firman Allah swt:
' Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya '.
( Surah al-Bayyinah : 5 )
Ikhlas akan menghasilkan kemenangan dan kejayaan. Masyarakat yang mengamalkan sifat ikhlas akan mencapai kebaikan dunia dan akhirat, bersih daripada sifat kerendahan dan mencapai perpaduan, persaudaraan, perdamaian dan kesejahteraan. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud,
' Bahagialah dengan limpahan kebaikan bagi orang-orang yang bila dihadiri (berada dalam kumpulan) tidak dikenali, tetapi apabila tidak hadir tidak pula kehilangan. Mereka itulah pelita hidayat. Tersisih daripada mereka segala fitnah dan angkara orang yang zalim'.
( Riwayat Imam al-Baihaqi )
c) TekunIslam menggalakkkan umatnya supaya tekun apabila melakukan sesuatu pekerjaan sehingga selesai dan berjaya. Sabda Rasulullah saw,
' Sesungguhnya Allah swt menyukai apabila seseorang kamu bekerja dia melakukan dengan tekun'.
( Riwayat Abu daud )
 
Sifat tekun akan meningkatkan produktiviti ummah, melahirkan suasana kerja yang aman dan memberi kesan yang baik kepada masyarakat.

d) BerdisiplinBerdisiplin dalam menjalankan sesuatu kerja akan dapat menghasilkan mutu kerja yang cemerlang. Hasrat negara untuk maju dan cemerlang akan dapat dicapai denga lebih cepat lagi.
Dengan berdisiplin seseorang itu akan dapat menguatkan pegangannya terhadap ajaran agama dan menghasilkan mutu kerja yang cemerlang.
e) BersyukurBersyukur dalam konteks peribadi unggul berlaku dalam dua keadaan: pertama; sebagai tanda kerendahan hati terhadap segala nikmat yang diberikan oleh Pencipta sama ada sedikit atau banyak, kedua; bersyukur sesama makhluk sebagai ketetapan daripada Allah swt supaya kebajikan sentiasa dibalas dengan kebajikan. Allah swt berfirman:
' Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur maka Aku akan tambahkan nikmat-Ku kepada kamu dan sekiranya kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amatlah keras'.
( Surah Ibrahim : 7 )


(f) sabar
Di dalam menghadapi cabaran hidup, kesabaran amat penting untuk membentuk peribadi unggul seperti yang dikehendaki Allah swt. Firman Allah swt :
' Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara kebajikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh di medan perjuangan) dan bersedialah (dengan kekiuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya'.
(Surah Ali Imran : 200)

g) AdilAdil bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Para ulama membahagikan adil kepada beberapa peringkat iaitu adil terhadap diri sendiri, orang bawahan, pemimpin atasan dan juga sesama saudara. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud,'Tiga perkara yang menyelamatkan iaitu takut kepada Allah ketika bersendirian dan di khalayak ramai, berlaku adil pada ketika suka dan marah dan berjimat cermat ketika susah dan senang; dan tiga perkara yang membinasakan iaitu mengikut hawa nafsu, terlampau bakhil dan kagum seseorang dengan dirinya sendiri'.
(Riwayat Abu Syeikh) 

Kesan Manusia Beruntung Dalam Kehidupan 
Seorang manusia yang memiliki sifat-sifat unggul adalah sangat beruntung kerana ia mampu mengemudi hidupnya dengan sempurna. Kondisi ini membuatkan ia dapat berperanan dengan baik kepada dirinya dan alam sekeliling.
Kesan Kepada Diri SendiriManusia unggul akan berjaya melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya dan sentiasa dapat memenuhi tuntutan-tuntutan rohani dan jasmaninya dengan terkawal. Aspek-aspek rohani dan jasmani manuisa yang terdiri daripada empat perkara asas iaitu akal fikiran, roh, jasad dan syahwat akan dapat dididik dan dipandu berdasarkan fitrah sebenar berdasarkan fungsi kejadian manusia itu sendiri sebagai makhluk istimewa dan khalifah Allah yang diamanahkan untuk memakmurkan bumi ini.Akal fikiran yang diciptakan Allah swt merupakan mahkota berharga yang menampilkan imej manusia. Ia berkeupayaan menerima ilmu, berfikir, membezakan yang baik dan buruk, boleh diajar dan dididik serta boleh menyampaikannya kepada orang lain. Melalui akal, seseorang itu mendapat hidayah dan petunjuk Allah swt menerusi pemerhatian dan penghayatan terhadap kejadian-kejadian alam dan ajaran-ajaran yang disampaikan oleh orang lain.Al-Quran menggesa manusia supaya menggunakan akal fikiran, memerhati dan mengkaji kejadian-kejadian alam ini. Pemerhatian dan pengkajian ini mempunyai faedah yang sangat besar iaitu memenuhi dan mempertingkatkan kemajuan hidup yang kemudiannnya akan menemui hakikat kebesaran Allah swt sebagai Pencipta yang Maha Agung. Dengan itu ia selaku makhluk yang mempunyai daya akal dan keupayaan akan tunduk patuh kepada kekuasaan Allah swt dengan penuh kesedaran dan akan melaksanakan kehidupan ini dalam situasi yang betul dan menuju keredhaan Allah swt.Roh dan nyawa adalah komponen utama manusia. Adalah terlalu sulit untuk diperkatakan kerana ia sebenarnya urusan Allah swt. Walaupun demikian ia amat mustahak kerana dengannya mausia boleh hidup, bernafas, mendenyutkan nadi, memberikan dorongan dan kekuatan perasaan.Satu lagi komponen manusia ialah jasad yang merangkumi kulit, daging, otot, urat, darah, tulang, anggota pancaindera dan lain-lain. Masing-masing mempunyai fungsi tersendiri dan meyempurnakan antara satu sama lain iaitu sesuai dengan kejadian manusia yang dijadikan Allah swt sebagai sebaik-baik kejadian. Seseorang yang terdidik dengan nilai-nilai unggul, jasadnya akan bergerak di atas panduan yang betul. Dia akan menggunakan kudratnya melakukan kerja-kerja yang baik, rehat dan tidur dengan seimbangnya, memakan makanan yang bersih dan halal, menjaga kesihatan diri, mengguna dan memelihara pancaindera dari sebarang kemudharatan, dosa dan sebagainya. Ini sesuai dengan firman Allah swt:
' … dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri ke dalam bahaya kebinasaan'.
( Surah al-Baqarah : 195 )
 

Jelasnya jasad perlu dijaga supaya tidak terdedah kepada kebinasaan, penyakit dan sebarang kecacatan kerana kesempurnaan jasad turut membantu keunggulan hidup seseorang.Unsur seterusnya yang dikurniakan kepada manusia ialah nafsu syahwat. Imam al-Ghazali pernah mengumpamakan nafsu sebagai binatang liar, bermakna ia sesuatu yang sukar dikawal. Sekiranya nafsu dapat dididk dan dikawal, ia akan menjadi jinak dan tunduk menurut segala kemahuan diri manusia. Tetapi sekiranya ia tidak dididik dan dikawal, dengan mudah ia menjadi raja kepada diri seseorang untuk melakukan apa sahaja kemahuan yang lebih cenderung kepada keburukan. Firman Allah swt ;
' Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu)'.
( Surah Yusuf : 53 )
 

Bagi menenuhi keinginan syahwat ini, Islam membenarkan perkahwinan. Dengan demikian umat manuisa akan membiak dan berkembang dengan cara yang betul di samping sebagai salah satu pengecapan kurniaan nikmat Allah swt dalam hidup berkeluarga.Jelasnya, kejayaan atau kegagalan seseorang itu melaksanakan tanggungjawab, khususnya kepada diri sendiri adalah bergantung kepada berjaya atau gagalnya ia memenuhi tuntutan keempat-empat perkara tersebut. Aspek-aspek ini adalah asas pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.

Kesan Kepada KeluargaSeseorang insan yang unggul akan mudah mengatur urusan hidup keluarganya. Ia dapat merencanakan soal-soal penddikan, saraan, pergaulan dan pembangunan keluarganya dengan tarbiah Islamiah. Ia dapat menjalankan tugasnya sebagai ra’i atau ketua keluarga dan dalam masa yang sama sebagai abid atau hamba Allah yang sentiasa menjaga hubungannnya dengan Allah swt.Dalam sesebuah keluarga, aspek-aspek kesihatan fizikal adalah sangat perlu. Ini kerana kesejahteraan pemikiran dan kerohanian seseorang bergantung rapat kepada kesejahteraan fizikal. Seseorang mukmin yang kuat adalah lebih baik daripada yang lemah. Minda yang sihat akan lahir dari tubuh badan yang sihat. Oleh itu, tarbiah jasmaniah seperti yang dituntut oleh syarak perlulah dilaksanakan dalam keadaan yang teratur. Umpamanya dalam pemilihan makanan mestilah yang bersih, baik dan dari sumber yang halal. Amalan buruk yang boleh memudaratkan badan seperti merokok, meminum minuman keras, menyalahgunakan dadah dan sebagainya, hendaklah dijauhi. Sekiranya ketentuan ini tidak dipatuhi, kesihatan jasmani akan terjejas dan boleh memberi kesan buruk kepada mental, fizikal dan spiritual.Pendidikan rohani pula adalah aspek yang penting. Ia merangkumi keimanan, pengamalan syariat, pelaksanaan tanggungjawab sebagai seorang muslim serta pembangunan mental dan spiritual. Seorang ketua keluarga bertanggungjawab membentuk dan mendidik keluarganya mengamalkan tuntutan-tuntutan yang dikehendaki oleh Islam. Dalam masa yang sama menjauhi perkara-perkara yang haram dan makruh. Ia juga mestilah memastikan ketulenan akidah keluarganya dan membersihkannya dari sebarang bentuk kekufuran dan kesyirikan serta mengikis jiwa dari kekotoran dan penyakit melalui amalan dan latihan yang mantap serta berterusan. Firman Allah swt:
'Sesungguhnya berjayalah orang yang ( setelah menerima peringatan itu) berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal soleh) dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mengerjakan sembahyang ( dengan khusyuk)'.
( Surah al-A’la : 14-15 )
 

Seperti yang telah dinyatakan akal fikiran sangat berharga bagi manuisa. Islam juga menuntut umatnya supaya menggunakan akal fikiran dengan betul. Islam menyuruh manusia supaya menuntut ilmu yang bermanfaat dan ilmu itu pula hendaklah disebarkan melalui proses pengajaran dan pengembangan.Seiring dengan kekuatan pemikiran, pendidikan akhlak adalah amat mustahak. Seseorang ketua yang unggul adalah model yang berkesan dalam pendidikan akhlak keluarganya. Ia perlu membimbing ahli keluarganya dengan akhlak Islamiah berdasarkan ilmu dan pengalaman yang ada padanya. Kegagalan sesetengah keluarga untuk mengamalkan akhlak Islamiah kebanyakannya berpunca daripada kegagalan ketua keluarga atau ibu bapa masing-masing yang tidak mengamalkan nilai-nilai murni seperti yang ditetapkan oleh Islam. Sebab itulah ibu bapa perlu membentuk keunggulan diri mereka terlebih dahulu sebelum amalan itu dapat diperturunkan kepada anak-anak mereka.Seorang ketua keluarga juga dapat mengatur soal kehidupan ekonomi dan sosial keluarganya berpandukan nilai-nilai yang baik. Ia akan mempunyai rasa tanggungjawab untuk mempertingkatkan taraf hidup keluarganya dengan mengamalkan sikap bersungguh-sungguh dalam kerjaya. Ia berkeyakinan bahawa kesungguhan bekerja adalah suruhan agama yang perlu ditunaikan. Dengan demikian ia akan membawa keluarganya keluar dari ruang lingkup kemiskinan yang menjadi salah satu musuh Islam yang boleh membawa kepada kekufuran seperti sabda Rasulullah saw :
' Hampir-hampr kefakiran itu membawa kepada kekufuran'.
( Riwayat Abu Naim )


Kesan Kepada Masyarakat, Negara Dan UmmahSeseorang insan yang unggul akan memastikan hubungan kemasyarakatan dan keluarganya berada dalam satu ikatan yang jitu. Prinsip-prinsip hubungan kejiranan dan masyarakat di sekitarnya akan diasaskan kepada panduan-panduan yang digariskan oleh Islam. Firman Allah swt:
' Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai ..'.
( Surah Ali Imran : 103 ) 


' Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar dan juga hamba sahaya yang kamu miliki'.
( Surah an-Nisa’ : 36 )
 

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
' Hubungan orang mukmin dengan orang mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan yang menguatkan antara satu sama lain'.
( Riwayat at-Tabarani )
 

Setiap kelompok masyarakat perlu memberi perhatian berat kepada bidang penddikan. Insan yang beruntung dalam sesebuah masyarakat akan memudahkan usaha dan perancangan untuk meningkatkan kualiti masyarakat melalui aktiviti pendididkan, pengajian dan muamalat.Penghayatan agama juga sangat mustahak. Merekalah yang akan mengembangkan penghayatan ajaran Islam melalui aktiviti-aktiviti yang berfaedah melalui cara-cara yang formal atau tidak formal. Susasana ini bukan sahaja dapat melahirkan masyarakat yang harmoni dan berdisiplin, tetapi juga akan menampakkan masyarakat yang mempunyai imej yang tinggi serta mendapat keberkatan daripada Allah swt.Seperti yang diketahui, ketrampilan seseorang individu atau masyarakat dengan ilmu agama semata-mata tanpa ilmu duniawi adalah sesuatu yang tidak sempurna. Dalam ertikata lain, seseorang muslim perlu mendapatkan pengetahuan yang luas dan kemahiran yang tinggi dalam ilmu selain ilmu agama yang menjadi keperluan asasi. Ia meliputi ilmu ekonomi, politik dan sosial yang perlu diketahui sebagai alat untuk meletakkan diri masing-masing dalam arus perdana kehidupan bermasyarakat dan beragama. Dengan sebab itu bidang ekonomi, politik dan sosial mesti diketahui dan dicenburi secara bersungguh-sungguh sekurang-kurangnya pada tahap yang paling asas. Bidang-bidang ini merupakan urusan hidup yang menjadi sebahagian penting yang dikehendaki oleh ajaran Islam seperti yang dijelaskan dalam firman Allah swt.
'Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan oleh Allah kepadamu (pahala dan kebahagiaan) hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu ( keperluan dan bekalanmu ) dari dunia'.
( Surah al-Qasas : 77 )
 

Selain bidang sosial dan ekonomi, bidang poltik juga menjadi perkara yang penting dalam sesebuah masyarakat. Kestabilan politik sesebuah negara adalah berpunca daripada keunggulan dan kekuatan yang ada pada diri setiap individu, yang kemudiannya membentuk satu ikatan warganegara yang kukuh.Apabila sesebuah masyarakat itu kukuh, akan lahir pula tokoh-tokoh berwibawa yang boleh diharap menjadi pemimpin bagi setiap kelompok masyarakat. Pemimpin ini pula perlu mempunyai ilmu, kemahiran dan sifat-sifat unggul sebagai pemimpin. Dia perlu diberi kepercayaan dan sokongan supaya masyarakat dan negara dapat dibawa kepada pencapaian matlamat kemakmuran hidup dan keredhaan Allah swt seperti yang dapat difahami daripada kisah negeri Saba’ ( Yaman Tua ) yang diceritakan di dalam al-Quran :
' Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba’ satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu dua kumpulan kebun ( yang luas lagi subur) yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka) : 'Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya , (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Amat Pengampun'.
( Surah saba’ : 15 ).
 

Dalam konteks kepentingan sejagat pula seseorang insan yang unggul akan mampu memimpin ummah di peringkat yang lebih luas. Kejayaan memimpin negara akan diikuti oleh negara lain sebagai model. Pemimpin yang berwibawa di arena antarabangsa ini diperintahkaan oleh Islam supaya memberikan sumbangan untuk kesejahteraan ummah. Dengan itu tercapailah fungsi manusia sebagai khalifah Allah swt di atas muka bumi ini. 

Penutup
 Demikianlah antara kesan-kesan yang dapat dilahirkan oleh insan yang umggul dalam kehidupannya sama ada kepada diri, keluarga, masyarakat, negara dan ummah hasil daripada pegangan dan amalan terhadap nilai-nilai unggul seperti yang telah dinyatakan.

Thursday, March 1, 2012

Selamat Hari Lahir



Kami warga Perpustakaan Anjung Ilmu ingin mengucapkan 'Selamat Hari Lahir' kepada rakan-rakan yang dilahirkan pada bulan Mac.. Semoga anda semua dikurniakan kesihatan yang baik, dimurahkan rezeki, dirahmati dan dilindungi Allah SWT... 



 RAHSIA BULAN KELAHIRAN MENURUT KAJIAN DR. FADZILAH KAMSAH (BULAN MAC)

  • Berpersonaliti menarik dan menawan
  • mudah didampingi
  • sangat pemalu dan pemendam rasa
  • sangat baik secara semula jadi, jujur, pemurah dan mudah simpati
  • Sangat sensitif pada perkataan yang dituturkan dan alam persekitaran
  • suka pada kedamaian
  • sangat peka kepada orang lain
  • sesuai dengan kerjaya yang memberi khidmat kepada orang lain
  • tidak cepat marah dan sangat amanah
  • tahu balas budi dan kenang budi
  • pemerhatian dan penilaian yang sangat tajam
  • kecenderungan untuk berdendam jika tidak dikawal
  • suka berangan-angan
  • suka melancong
  • sangat manja dan suka diberi perhatian yang sangat tinggi
  • kelam kabut dalam memilih pasangan
  • suka dengan hiasan rumahtangga
  • mempunyai bakat seni dalam bidang muzik
  • kecenderungan kepada benda yang istimewa dan baik tetapi jangan terlalu mengikut perasaan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...