MAKLUMAN PENTING!! Kepada ahli perpustakaan, anda DIWAJIBKAN membawa Kad Pengenal Pegawai untuk membuat pinjaman buku. Sekiranya tiada, sila buat kad tersebut di Bahagian Operasi Dan Kebombaan Negeri masing-masing. Sila maklum pada kami sekiranya anda telah bertukar ke mana-mana tempat pertukaran bagi pengemaskinian data ahli anda. Kerjasama anda amat dihargai. Terima kasih.

Tuesday, December 30, 2014

Pesawat AirAsia QZ8501 disahkan terhempas...Salam takziah...

Assalamualaikum wbt...

Dukacita dimaklumkan, pesawat AirAsia QZ8501 telah disahkan terhempas sejak dilaporkan hilang dari radar 6 hari yang lalu... Kami turut berasa sedih di atas kehilangan pada mereka yang terkorban, apatah lagi dengan penerimaan waris yang terkorban... Salam takziah daripada kami...

Marilah kita sedekahkan Al-Fatihah kepada mangsa-mangsa yang beragama Islam dan berdoa agar semoga roh-roh mereka dicucuri rahmat...

 

Amin Ya Rabbal A'lamin...

Continue Reading
No comments
Share:

Monday, December 29, 2014

PENGUMUMAN PENANGGUHAN TARIKH BERMULA SESI PERSEKOLAHAN TAHUN 2015 AKIBAT BANJIR

KENYATAAN MEDIA
YAB MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA


PENGUMUMAN PENANGGUHAN TARIKH BERMULA
SESI PERSEKOLAHAN TAHUN 2015 AKIBAT BANJIR


Sepertimana semua pihak sedia maklum bahawa banjir yang sedang melanda negara sekarang masih berterusan khususnya di negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia. Sehingga pada tarikh 28 Disember 2014, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendapati sejumlah 340 buah sekolah daripada tujuh buah negeri terlibat dengan banjir, sama ada dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau sekolah tersebut ditenggelami air akibat banjir.

Sebagai Menteri Pendidikan, saya amat memahami dan mengambil berat akan kesukaran yang bakal dihadapi oleh semua pihak termasuk pengurusan sekolah, guru-guru, ibu bapa dan murid-murid sekiranya persekolahan bagi tahun 2015 dibuka seperti dijadualkan iaitu pada 4 Januari 2015 (bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor) dan pada 5 Januari 2015 bagi negeri-negeri lain.

Sehubungan itu, sukacita dimaklumkan bahawa KPM dengan ini bersetuju untuk menangguhkan permulaan sesi persekolahan di seluruh negara bagi tahun 2015 selama seminggu. Dengan penangguhan ini, tarikh baru sesi bermula persekolahan tahun 2015 bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor adalah pada 11 Januari 2015 (Ahad). Manakala bagi negeri-negeri lain akan bermula pada 12 Januari 2015 (Isnin). Penangguhan ini juga dibuat setelah mengambilkira;

a) Sekolah-sekolah yang terlibat sama ada sebagai PPS atau ditenggelami air akan mengambil masa untuk dipulihkan; dan
b) Keadaan guru-guru, ibu bapa dan murid yang menjadi mangsa banjir serta serba kekurangan perlu mengambil masa untuk pemulihan dan membuat persiapan persekolahan mereka.
Sekiranya keadaan banjir tersebut pulih, maka pihak pengurusan sekolah hendaklah menggunakan tempoh tersebut untuk mengadakan gotong royong pembersihan kawasan sekolah masing-masing bagi memastikan anak-anak kita dapat belajar dalam keadaan selamat, selesa dan sempurna.

Terima kasih.

Tan Sri Muhyiddin Hj Mohd Yassin
Timbalan Perdana Menteri
Merangkap Menteri Pendidikan
29 Disember 2014

http://www.moe.gov.my/v/kenyataan-media-view?page=1&id=4552

Continue Reading
No comments
Share:

Friday, December 26, 2014

Senarai Tabung Bantuan Kecemasan Banjir

Senarai Tabung Bantuan Kecemasan Bencana Banjir Malaysia 2014. Artikel ini disharing dari Blog # Projek 2 Ribu untuk senarai tabung bantuan kecemasan bencana banjir yang melanda Malayia kini pada bulan Disember 2014. Diharap rakyat Malaysia yang pemurah dan berbesar hati untuk menyumbang kepada mangsa banjir tak kira wang ringgit atau barangan ke saluran yang dinyatakan di bawah ini.

MAKLUMAT TERKINI BANJIR BOLEH RUJUK DI SINI


KELAB ANAK-ANAK GUA MUSANG
Assalamualaikum.Gua Musang dilanda banjir besar.Maka atas dasar simpati yang amat sangat maka satu sesi kutipan sumbangan pakaian(seluar/baju/kain/dll) untuk mangsa banjir di Gua Musang akan diadakan.Sahabat semua boleh serahkan sumbangan pakaian tersebut kepada PIC yang tersenarai di bawah :
1. Amran Arifin
(017-2089569).
Lokasi : Depan Alamanda Putrajaya
Masa : 2.00pm - 5.00pm
Tarikh : 25.12.2014 / Khamis
2. Zack Kagum
(017-6166528)
Lokasi : Depan Tesco Ampang
Masa : 10.00am - 12.00pm
Tarikh : 25.12.2014 / Khamis
3. Haji Hazmi Hanipa
(013-9100020/012-9192037)
Lokasi : Shell Greenwood,Gombak
Masa : 11.00am - 12.00pm
Tarikh : 25.12.2014 / Khamis
4. Mohd Sharuddin
(019-2949300)
Lokasi : Restoran Wira Sejati
Seksyen 24 Shah Alam
Masa : 24 jam (On Call)
Tarikh : 25.12.2014 / Khamis
Mohon jasa baik sahabat semua uar-uarkan kerja amal ini.Semoga Allah SWT bagi ganjaran setimpal untuk kita sama-sama ringankan beban sahabat dan keluarga di sana
tak dapat sumbang sbarkan di group masing2 insyaAllah


MERCY MALAYSIA EAST COAST FLOOD RELIEF
Does MERCY Malaysia accept cash donations?
Yes. You can pay cash directly to our office at the following address:
Malaysia Medical Relief Society (MERCY Malaysia),
No.4, Jalan Langgak Golf,
off Jalan Tun Razak,
55000 Kuala Lumpur,
Malaysia.


You can also bank-in your cash at the following accounts:

Malayan Banking Berhad (MAYBANK) Account Name:MERCY Humanitarian FundABA Swift Code:MBBEMYKL
Account No:5621 7950 4126
Address:
MAYBANK BERHAD
20G-28G, Jalan Wawasan 4/5,
Bandar Baru Ampang,
68000 Ampang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia
CIMB BANK
Account Name:MERCY Malaysia
ABA Swift Code:CIBBMYKL
Account No:8000 7929 08
Address:
CIMB BANK
Lot 112, 1st Floor, Podium Block,
Citypoint, Kompleks Dayabumi,
Jalan Sultan Hishamuddin,
50050 Kuala Lumpur,
Malaysia

For cash donations or direct transfer into our account, please fax or email us your remittance slip and include your personal details (name, address, phone number) should you wish to claim tax-exempt receipts.

Senarai Tabung Bantuan Kecemasan Banjir Malaysia 2014


Senarai Tabung Bantuan Kecemasan Banjir Malaysia 2014


Senarai Tabung Bantuan Kecemasan Banjir Malaysia 2014


Senarai Tabung Bantuan Kecemasan Banjir Malaysia 2014


Senarai Tabung Bantuan Kecemasan Banjir Malaysia 2014


Senarai Tabung Bantuan Kecemasan Banjir Malaysia 2014


Senarai Tabung Bantuan Kecemasan Banjir Malaysia 2014


Senarai Tabung Bantuan Kecemasan Banjir Malaysia 2014

Continue Reading
No comments
Share:

Wednesday, December 17, 2014

Maanfaat membaca untuk kesihatan


Pasti ramai menjadikan membaca sebagai hobi. Tidak kiralah buku, majalah, jurnal atau apa saja bahan bacaan sekalipun, selagi mendatangkan ilmu maka ia adalah sesuatu yang bermanfaat malah baik untuk kesihatan. Berikut adalah beberapa kebaikan yang boleh didapati dari membaca buku.

Melatih otak
Membaca mampu meransang sel-sel otak yang tidak diperoleh melalui aktiviti menonton televisyen atau mendengar muzik. Melalui pembacaan, anda kemudiannya akan berimaginasi. Justeru, sekiranya ingin menguatkan sel-sel otak maka jadikan budaya membaca sebagai amalan.

Mengurangkan tekanan
Membaca adalah satu cara yang paling efektif untuk mengurangkan tekanan. Terdapat satu kajian yang menunjukkan bahawa membaca boleh merendahkan paras kartisol, denyutan jantung serta ketegangan otot di tubuh.

Ubat tidur
Pernahkah anda berasa letih walaupun hanya membaca sebuah buku? Situasi ini terjadi kerana ketika itu anda berada dalam keadaan yang tenang. Tidak mustahil selepas itu anda akan tertidur disebabkan kepenatan.

Menguatkan daya ingatan
Sewaktu membaca, otak sebenarnya sedang bekerja untuk memahami jalan cerita sekali gus berusaha untuk mengingatinya. Situasi ini bolehlah disamakan dengan senaman otak yang mampu meningkatkan kemampuan untuk mengingat. 

Awet muda
Kajian mendapati individu yang rajin membaca atau gemar melatih otak untuk berfikir akan mengalami penurunan kognitif yang lebih lambat berbanding individu yang tidak melakukannya. Bukan setakat itu saja, membaca secara teratur juga boleh menghindarkan diri dari terkena penyakit Dementia atau Alzheimer.

Merehatkan diri
Membaca merupakan satu aktiviti yang mudah dan baik diamalkan. Apabila dilakukan ketika santai, ia sebenarnya memberi terapi ketenangan. Beberapa kajian mendapati individu yang suka membaca buku keagamaan, sebenarnya mereka sedang merawat diri sendiri untuk menurunkan tekanan darah, meningkatkan mood seterusnya mengurangkan tekanan yang dialami. 

Meningkatkan kemampuan menulis
Selain meningkatkan kosa kata, membaca juga dapat menambah tatabahasa sekali gus menjadikan otak untuk berfikir dengan luar biasa. Pada masa yang sama, ia secara tidak langsung mengasah kemampuan anda untuk menulis secara lebih kreatif lagi. 



Continue Reading
No comments
Share:

Friday, December 12, 2014

Buah Zaitun : Khasiat dan Keistimewaannya





Written by Norkumala binti Awang. 

"Demi buah tiin dan zaitun. Dan Gunung Tursina". (Surah at Tiin ayat 1 dan 2). Allah telah menyebut di dalam Al Quran berkenaan dengan buah zaitun. Ini menunjukkan buah zaitun juga memiliki banyak keistimewaan tersendiri yang jarang diketahui dan diselidiki. Di dalam Al Quran, buah zaitun disebut sebanyak 7 kali di mana sebanyak 2 kali, ia di sebut bersendirian dan 5 kali lagi ia digambarkan dalam Al Quran bersama dengan buah- buahan lain seperti tamar, delima, anggur dan buah tiin. Gambaran ini menunjukkan betapa banyaknya khasiat buah zaitun sepertimana buah- buahan lain yang mendatangkan kebaikan kepada kehidupan manusia sejagat.

Buah zaitun atau nama botaninya dikenali sebagai olea europea ditanam di kawasan Meditranean tetapi tempat penanaman yang paling utama ialah Sepanyol, Turki, Itali, Tunisia dan Morocco. Di dalam surah an Nur ayat 35 juga Allah menyebut tentang buah zaitun yang mana ulama seperti Maulana Majid, Maulana Maudoodi, Maulana Usmani, Maulana Haqqani dan Abdullah Yusuf Ali memberi pentafsiran dan pandangan yang sama merujuk kepada tempat dan taburan penanaman buah zaitun.

Dunia moden pada hari ini, melalui kajian- kajian sains semasa mengiktiraf khasiat buah zaitun. Minyak zaitun mempunyai nilai yang tinggi dalam bidang perubatan. Seandainya minyak zaitun diambil sebagai bahan makanan, ia bertindak sebagai penambah zat makanan, mencuci dan membaik pulih perut dan menjadi penawar racun. Ia akan membantu pesakit gastrik dan juga yang mengalami kegagalan fungsi buah pinggang. Jika minyak zaitun diambil sebagai sapuan luaran, ia bertindak sebagai pelicin dan pelembut kepada kulit yang mengalami ekzema dan psoriasis seterusnya dapat meremajakan kulit. Menurut Tarmizi dan Ibn Majah, Nabi Muhamad SAW bersabda, " Makanlah minyak zaitun, dan sapulah kulitmu dengannya kerana ia datang dari pohon yang diberkati".

Dari sudut pandangan sains pemakanan, minyak zaitun mengandungi asid lemak tidak tepu yang dikelaskan sebagai "monounansaturated" yang mampu merendahkan kolesterol berbahaya di dalam darah. Satu kajian yang telah dijalankan oleh pakar- pakar kesihatan di Institut Sains Kesihatan, Universiti Oxford melihat perkaitan antara kanser dan pemakanan seseorang. Didapati bahawa negara yang mengamalkan pengambilan daging yang kerap dan rendah dalam pengambilan sayur- sayuran mempunyai risiko dan kes penyakit kanser yang tinggi tetapi pengambilan minyak zaitun akan mengurangkan kadar kes tersebut. Dalam Annals of Oncology (10 Januari 2005) menyatakan pakar- pakar sains mendapati diet Meditranean yang kaya dengan minyak zaitun akan mengurangkan risiko seseorang mendapat kanser payudara kerana kandungan ‘oleic acid' yang terdapat didalamnya. Menurut Imam Ibn Qayyim Al Jauziyyah, mutu minyak zaitun adalah bergantung kepada pokok yang mengeluarkannya. Sebagai contoh, jenis yang terbaik adalah minyak zaitun yang dikeluarkan daripada buah yang masak, manakala minyak daripada buah zaitun yang belum masak adalah bersifat sejuk dan kering. Buah zaitun yang telah masak ranum, lebih cenderung menjadi panas dan mengurai. Oleh itu, jika ia diproses menggunakan air akan menjadikannya kurang panas, bertindak dengan lembut dan lebih berkhasiat. Walaubagaimanapun, semua jenis minyak zaitun akan melembutkan kulit serta melambatkan proses penuaan. Di samping itu, minyak zaitun dapat melawan racun di dalam badan dengan bertindak sebagai ‘laxative' dan menyingkirkan cacing di dalam badan.

Melihat kepada keadaan dan tahap kesihatan masyarakat kita sekarang, penyakit jantung yang dikenali sebagai pembunuh secara senyap semakin meningkat. Namun begitu, pengambilan minyak zaitun mungkin dapat mencegahnya kerana ia kaya dengan bahan ‘phenol'. Bahan ini mempunyai bahan antioksidan yang tinggi di samping mampu mencegah proses radang dan pembekuan darah. Oleh itu, pengambilan minyak zaitun amat bermanfaat untuk mencegah seseorang daripada menghidapi penyakit jantung. Di samping itu, mutakhir ini, manfaat minyak zaitun untuk kecantikan seringkali dihebahkan di dada akhbar mahupun media elektronik. Ini kerana, banyak syarikat kosmetik yang menggunakan minyak zaitun sebagai bahan asas ramuan dalam pembuatan barangan kecantikan. Oleh itu, sememangnya kelebihan minyak zaitun tidak dapat dinafikan lagi.

Kelebihan minyak zaitun boleh dilihat dalam situasi yang paling dekat dengan kehidupan kita di mana penggunaannya sebagai minyak masak. Walaupun banyak pendapat mengatakan bahawa makanan yang dimasak atau digoreng menggunakan minyak zaitun tidaklah sesedap makanan yang digoreng dengan menggunakan minyak kelapa sawit, namun ia ada kelebihan tersendiri dari sudut kesihatan. Minyak masak selain yang berasaskan buah zaitun apabila digunakan berulang kali menyebabkan jumlah kolesterol teroksida dan menjadi tepu serta tidak elok untuk kesihatan. Kesannya dapat dilihat apabila minyak tersebut memerangkap sisa makanan dan berubah warna dan bau. Namun berbeza dengan minyak zaitun kerana ia boleh digunakan berulangkali, tidak akan mengalami proses pengoksidaan dan menjadi tepu serta tidak akan berubah dari segi warna dan bau. Setelah makan makanan yang digoreng menggunakan minyak zaitun, perut akan terasa ringan dan puas sehingga seseorang akan berhenti makan sebelum kenyang. Ini adalah kerana kesan daripada penguraian tenaga di hati oleh minyak zaitun yang mempunyai banyak kandungan zat yang bermanfaat.

Oleh itu, tidak dapat disangkal lagi akan keistimewaan buah zaitun yang daripadanya boleh menghasilkan pelbagai jenis barangan dengan teknologi yang ada pada masa kini untuk kegunaan ramai. Sehubungan dengan itu, daripada Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda " Ambillah minyak zaitun dan sapulah ke kulitmu. Ia membantu mengubat tujuh puluh (beberapa) penyakit dan juga Juzam (kusta). Dengan ini, tidak hairanlah, ramai yang mengetahui akan kelebihan buah zaitun, memanfaatkannya sebagai bahan untuk kegunaan asas seperti minyak masak, minyak rambut, barangan kecantikan, sabun dan juga dijadikan sebagai makanan tambahan. Justeru, khasiat yang terdapat pada buah zaitun merupakan anugerah Allah ke atas hamba- hambaNya yang amat bernilai untuk dimanfaatkan kerana bukan sahaja buah zaitun disebut di dalam Al Quran, malah pakar- pakar sains dunia juga mengiktiraf akan keistimewaannya.


Sumber artikel : http://www.ikim.gov.my/index.php/en/artikel/7717-buah-zaitun-khasiat-dan-keistimewaannya

Continue Reading
No comments
Share:

Thursday, December 11, 2014

Pengurusan Kewangan Berhemat Sebagai Budaya Hidup

 









Written by Nor Hartini binti Saari. 


Peningkatan beban hutang isi rumah di negara ini adalah satu perkara yang tidak dapat dinafikan. Keperluan hidup yang semakin mendesak di samping kos sara hidup yang semakin meningkat memaksa masyarakat memilih untuk berhutang.  Hutang isi rumah merupakan hutang yang dibuat oleh isi rumah melalui pinjaman daripada institusi kewangan bagi tujuan tertentu. Hutang ini merupakan satu liabiliti atau tanggungan yang perlu dibayar balik pada masa akan datang.

Hutang isi rumah negara pada tahun 2013 mencatatkan nisbah hutang isirumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada paras tertinggi berbanding negara-negara membangun di Asia iaitu sebanyak 83%. Bagi komposisi hutang isi rumah untuk empat tahun berturut-turut (2010-2013) mengikut pengelasan peratusannya menunjukkan bahawa pinjaman perumahan merupakan kategori pinjaman yang paling tinggi diikuti dengan pinjaman kenderaan, peribadi dan kad kredit.  Persoalannyaa apakah punca utama kepada tren peningkatan hutang isi rumah hari ini?

Selain daripada berhutang untuk memenuhi keperluan dan kehendak, tidak dapat dinafikan peningkatan hutang isi rumah ini juga timbul natijah daripada sistem ekonomi semasa yang turut menggalakkan perkembangan industri hutang.  Sistem ekonomi yang bersandarkan industri hutang dilihat turut merancakkan masyarakat terus berhutang.  Ini bermakna selagi sistem ini terus diamalkan, maka tren peningkatan hutang sama ada di sektor isi rumah, sektor kerajaan mahupun di sektor swasta akan terus meningkat dengan implikasinya yang akan memporak-perandakan kehidupan kita dan generasi akan datang. Malah dengan kemunculan produk-produk perbankan pengguna yang semakin inovatif dan mudah diakses seperti pinjaman peribadi, “over draf” dan kad kredit, turut dilihat bertambahnya peningkatan  kes-kes muflis dalam kalangan umat Islam.  Rentetan daripada isu itu mampukah masyarakat menolak sistem ekonomi yang ada sekarang? Dan apakah dengan menolak sistem tersebut dapat mengubah tren peningkatan statistik hutang isi rumah di negara ini?

Pun begitu, kegagalan mengurus dan merancang kewangan turut dikenal pasti antara punca mudahnya seseorang itu terperangkap dengan pelbagai masalah berhutang dalam kehidupan. Statistik daripada Agensi Kauseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mendapati sebab utama kegagalan membayar hutang ini adalah disebabkan oleh pengurusan kewangan yang lemah.  Maka di sinilah amalan  pengurusan kewangan berhemat perlu diterapkan sebagai budaya hidup. Ilmu pengurusan kewangan merupakan aset dan satu keperluan yang amat penting bagi setiap individu dan perlu dipupuk sedari kecil lagi.

Pengurusan kewangan adalah satu kemahiran yang amat penting bagi setiap individu kerana ia turut membantu menjamin hayatan tayyibah (kehidupan yang baik), untuk membebaskan diri daripada belenggu hutang. Ia memerlukan satu kemahiran bersama semua pihak termasuk ibu bapa dan penerangan daripada agensi yang dipertanggungjawabkan untuk membantu masyarakat sedar terhadap kepentingan pengurusan kewangan dan juga menabung.  Tujuan menyimpan dan menabung secaranya amnya adalah untuk perbelanjaan di masa hadapan atau sekiranya berlaku kecemasan.

Dengan adanya simpanan, kita tidak perlu mencari sumber-sumber lain, contohnya dari sumber hutang atau terpaksa menjual harta-harta lain yang kita perlukan, semata-mata untuk memenuhi keperluan perbelanjaan yang mendesak atau kecemasan. Amalan menabung juga boleh membantu kita untuk membina kekayaan, yang mana, hasil tabungan boleh kita laburkan untuk memperoleh pendapatan pasif.

Dalam hal ini, Allah SWT telah menurunkan dua ayat yang cukup indah dan secocok dengan kehidupan manusia pada hari ini. Firman Allah SWT dalam ayat 47-48 Surah Yusuf: “Yusuf menjawab: "Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).”

Menurut riwayat, kedatangan musim kemarau selama tujuh tahun, menjadikan bumi kering, tanaman tidak menjadi dan melanda beberapa buah Negara. Penduduk Mesir amat beruntung kerana Nabi Yusuf telah meramalkan tentang musim kemarau dan telah bersedia melengkapkan gudang-gudang makanan yang banyak sebagai persediaan musim kemarau. Berkat simpanan atau tabungan ini dapat juga dikongsi dan dinikmati oleh rakyat yang tinggal bersempadan dengan negeri Mesir.  Ayat-ayat ini tersusun indah untuk menyeru manusia agar sentiasa mengamalkan tabiat menabung yang bukan sahaja untuk memenuhi keperluan di kala berlaku kecemasan, bahkan dapat membina kekayaan untuk masa hadapan.

Oleh yang demikian, masyarakat juga perlu mendisiplinkan diri dengan menabung. Sekurang-kurangnya menabung antara  5 hingga 10 peratus daripada pendapatan dan perlu dilakukan secara disiplin.  Untuk memudahkan tujuan ini, potongan gaji bulanan boleh dilakukan seperti potongan ke Tabung Haji atau ke akaun simpanan tetap. Perlu diingat menabung bukan hak keistimewaan orang yang bergaji besar sahaja. Tidak salah untuk memulakan tabungan dengan jumlah yang kecil kerana usaha itu adalah lebih baik dan mulia daripada tidak memikirkan langsung tentang perlunya menabung.

Dari segi pelaburan, masyarakat yang ingin melabur dinasihatkan supaya memastikan kewangan mereka kukuh terlebih dahulu. Hal demikian kerana pelaburan adalah satu risiko yang perlu diambil oleh penghutang. Masyarakat harus tahu bahawa terdapat risiko dalam pelaburan ini kerana kadar dividen mungkin lebih rendah daripada kadar keuntungan pada masa hadapan. Ini kerana pulangan pada masa hadapan adalah tidak menentu. Justeru, dalam mengurus kewangan secara berhemat masyarakat perlu memikirkan jika terdapat lebihan dalam pendapatan baru mereka boleh membuat keputusan sama ada untuk melabur atau sebaliknya.

Selain itu, sebagai umat Islam panduan Maqasid Syariah amat berguna khususnya untuk membuat keputusan kewangan yang lebih baik untuk diri dan keluarga. Contohnya, jika seseorang ingin membeli sebuah kereta, ciri-ciri kereta tersebut perlu dipadankan dengan bertanyakan soalan adakah ia untuk keperluan asas, kemudahan atau kemewahan?  Maka dengan itu, keputusan akan dibuat berdasarkan kedudukan kemampuan kewangan kita dan apakah keperluan kita pada masa ini dan masa depan. Hasilnya kita akan membeli sesuatu yang terbaik untuk kita dan keluarga, mengikut kemampuan kewangan yang ada. Justeru, panduan Maqasid ini perlu kita terapkan dalam minda kita agar ia dapat menjadi satu panduan pada bila-bila masa sahaja apabila kita berdepan dengan cabaran untuk berbelanja atau membuat sebarang keputusan yang melibatkan soal kewangan.

Amalan pengurusan secara berhemat bukan sahaja dapat memupuk amalan  berjimat cermat dan tidak membazir, bahkan kita dapat mengukur kewangan diri sebelum membuat keputusan untuk berbelanja. Berbelanjalah mengikut kedudukan kemampuan kewangan diri bukan  mengikut rentak perbelanjaan orang lain. Ingatlah pepatah kita “ukur baju di badan sendiri”.

Sumber artikel : http://www.ikim.gov.my/index.php/en/berita-harian/9063-pengurusan-kewangan-berhemat-sebagai-budaya-hidup

Continue Reading
No comments
Share:

Tuesday, December 9, 2014

Peranan Masyarakat Dalam Menyelamatkan Alam Sekitar

 
 Written by Rosmidzatul Azila binti Mat Yamin. 
 
Pada hari ini pencemaran alam sekitar berlaku di mana-mana dan ia merupakan satu perkara yang besar bukan sahaja di negara kita, malah turut juga dihadapi oleh negara-negara membangun yang lain. Mengapakah keadaan sedemikian berlaku? 
 Pencemaran yang berlaku secara berleluasa di negara kita adalah disebabkan oleh pelbagai unsur. Mengikut hasil kajian yang dibuat oleh Jabatan Alam Sekitar, sebanyak 91% kejadian pencemaran terutamanya pencemaran sungai yang berlaku di negara kita adalah disebabkan oleh najis, sama ada najis haiwan mahupun najis manusia.

Antara unsur lain berlakunya pencemaran termasuklah disebabkan oleh bahan kumbahan dan baja yang digunakan untuk tujuan pertanian terutamanya yang mengandungi galian seperti nitrat dan fosfat. Pencemaran juga berlaku adalah disebabkan oleh penghasilan kelodak dan bahan-bahan lain berbentuk pepejal seperti tanah, bahan buangan daripada kawasan pembinaan serta kawasan perbandaran dan juga disebabkan oleh hakisan tebing sungai apabila berlakunya hujan lebat.

Di samping itu, bahan buangan daripada kilang-kilang, pembasmian hutan dan pembangunan industri juga menjadi punca berlakunya pencemaran terhadap alam sekitar kita. Mungkin ada antara kita yang sedia maklum bahawa kebanyakan bahan pencemar selalunya cepat tersebar dan boleh meliputi kawasan yang luas dalam jangka masa yang singkat sahaja. Pencemaran seperti ini boleh juga disifatkan sebagai pencemaran jangka pendek. Manakala, bagi pencemaran jangka panjang pula, ia memerlukan perhatian yang khusus walaupun ianya masih lagi pada tahap yang rendah di negara kita, kerana ia boleh memberi kesan yang besar kepada seluruh ekosistem melalui rantaian hidupan.

Pencemaran tanah dan air bawah tanah misalnya tidak boleh tersebar dalam jangka masa yang cepat. Namun demikian ia boleh memberi kesan yang besar kepada hidupan terutamanya jenis haiwan yang menghuni sesuatu ekosistem. Sebagai contoh, aliran kehidupan biasa dalam kitar pembiakan haiwan seperti spesies katak sudah tergangu, puncanya adalah merujuk kepada pencemaran dan keracunan yang berlaku disebabkan oleh pencemaran jangka panjang, dan sebahagian saintis khuatir sekiranya keadaan tersebut berterusan, ia akhirnya akan turut memberi kesan kepada manusia.

Sebagai individu, apakah yang patut kita lakukan untuk mengatasi malasah pencemaran alam sekitar kita pada hari ini?

Sebenarnya kuasa untuk menyelamatkan alam sekitar kita adalah terletak di tangan kita sendiri. Bila-bila masa sahaja kita boleh katakan ‘tidak' kepada pembasmian hutan dan juga persekitaran yang kotor. Sebagai contoh, kita mempunyai kuasa untuk mendesak para pemaju dan penjaja supaya mereka lebih ‘mesra alam' dalam menjalankan kerja mereka.
Kita sebagai individu juga mempunyai pilihan untuk tidak membeli rumah dalam kawasan ladang yang mana pemaju telah menebang semua pokok untuk tujuan pembukaan kawasan perumahan. Kita sepatutnya bertanya pada diri kita sendiri, mengapa perlu kita tinggal di kawasan persekitaran yang tidak selamat dan selesa? Hanya kita sendiri sahaja yang berhak untuk katakan ‘tidak' ataupun ‘ya' dalam memastikan kita hidup dalam suasana persekitaran yang bersih dan selesa.

Kegagalan untuk menjaga kebersihan alam sekitar juga boleh memberi kesan yang besar kepada sektor pelancongan di negara kita, misalnya ia akan membantutkan kegiatan-kegiatan pelancongan sama ada yang sedia ada ataupun yang bakal diterokai. Sebagai contoh, pada penghujung tahun lepas, pelabur telah menolak rancangan untuk membina hotel di Pantai Pasir Gemuruh berhampiran Teluk Kumbar, Pulau Pinang kerana kawasan tersebut telah diancam pencemaran. Kawasan tersebut yang dahulunya bersih dan cantik, kini telah dipenuhi dengan sampah sarap.

Selain itu, 50% sungai di negara kita juga telah tercemar , dan 5% daripadanya berada pada tahap yang sangat tenat. Jika diamati, kini tiada lagi kawasan air terjun di Pulau Pinang, Sungai Klang pula tercemar teruk dan kawasan perlombongan di Batu Pahat, Johor juga dipenuhi dengan sampah sarap.

Bagi memastikan persekitaran kita selamat untuk didiami, orang awam perlu mengambil berat dan memberi perhatian terhadap kebersihan di dalam dan juga di luar rumah mereka terlebih dahulu. Ini kerana menjaga kebersihan alam sekitar perlu berakar umbi dari rumah. Setiap anggota masyarakat perlu mempunyai kesedaran yang tinggi dalam menjaga kebersihan, misalnya tidak sesuka hati membuang sampah ke dalam longkang dan sistem perparitan, kerana ia akan menyebabkan sistem saliran tersumbat dan akhirnya akan membawa kepada masalah-masalah lain seperti berlakunya banjir dan sebagainya.

Misalnya kejadian banjir besar yang berlaku di Johor pada tahun lepas telah menyebabkan kerajaan terpaksa mengeluarkan kos yang besar, iaitu sebanyak RM1 bilion hanya untuk memperbaiki kemudahan-kemudahan asas yang rosak akibat banjir tersebut. Ia jelas merugikan apabila kita terpaksa memperuntukkan sejumlah wang yang besar hanya untuk membaik pulih kerosakan akibat daripada banjir tersebut. Adalah lebih baik sekiranya kita dapat menggunakan wang tersebut untuk tujuan lain yang lebih bermanfaat seperti untuk tujuan pembinaan sekolah dan juga hospital.

Bukan itu sahaja, malah kita juga memerlukan penguatkuasaan yang bersepadu dalam membanteras pembalakan haram. Ini kerana, pembalakan haram merupakan salah satu daripada kegiatan yang turut memusnah dan mencemar alam sekitar kita termasuk sungai dan juga laut. Daripada kerja pembalakan haram tersebut juga, ia akan turut membawa kepada musnahnya kebanyakkan habitat semulajadi ikan air tawar yang sedia ada.

Selain memusnahkan habitat semulajadi ikan air tawar, aktiviti pembalakan haram juga akan turut memusnahkan kebanyakan habitat hutan yang seterusnya akan membawa kepada masalah-masalah lain seperti hakisan tanah, banjir, pemanasan sejagat dan sebagainya. Kita sepatutnya sedar bahawa habitat hutan sangat penting bukan sahaja kepada kita, malah juga kepada alam sekitar kita. Seperti yang kita sedia maklum, kewujudan tumbuh-tumbuhan adalah sangat penting terhadap alam sekitar yang mana ia sangat diperlukan bagi membolehkan penggunaan karbon dioksida oleh tumbuh-tumbuhan dan pengembalian oksigen untuk tujuan pernafasan.

Kewajipan menjaga kebersihan alam sekitar adalah terletak sepenuhnya di tangan kita. Sudah tiba masanya setiap anggota masyarakat membuang sikap ‘tak apa' dalam diri masing-masing untuk melindungi dunia daripada melakukan pemusnahan terhadap alam sekitar secara berterusan. Ia merupakan tugas dan kewajipan akhlak kita di muka bumi ini untuk menjaga dan memelihara alam sekitar kita sebagaimana ia telah memberi pelbagai manfaat kepada kita berabad lamanya.

Selain itu, kita juga memerlukan proses pembaikan dalam senario pemuliharaan di negara kita. Langkah yang berkesan perlu diambil dalam memastikan mesej yang jelas mengenai unsure-unsur pemuliharaan alam sekitar yang betul dapat disampaikan kepada setiap anggota masyarakat bagi menjamin kebersihan alam sekitar kita terus terpelihara. Setiap anggota masyarakat perlu sedar bahawa usaha pemuliharaan patut menjadi teras dalam diri masing-masing, kerana kesedaran dalam diri setiap individu adalah sangat penting. Jika semua anggota masyarakat bertanggungjawab dalam memainkan peranan masing-masing dan bekerjasama untuk menyelamatkan alam sekitar, pastinya alam sekitar kita akan dapat diselamatkan dan dipelihara sepenuhnya.

Sumber info : http://www.ikim.gov.my/index.php/en/artikel/7756-peranan-masyarakat-dalam-menyelamatkan-alam-sekitar

Continue Reading
No comments
Share:

Unit Pusat Sumber Dan Dokumentasi, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia