Wednesday, April 30, 2014

CEGAH ALAHAN KETIKA DI RUMAH

 
Rumah adalah tempat yang paling selesa untuk beristirehat, apatah lagi setelah penat bekerja di pejabat. Sungguhpun begitu, ia bukanlah lokasi yang paling selamat sama ada dari segi kesihatan mahupun keselamatan.

Banyak penyakit boleh singgah ke tubuh ketika berada di rumah sekiranya faktor kebersihan diabaikan. Sebagai contoh, habuk yang menyebabkan anda bersin, gigitan nyamuk, alahan daripada binatang peliharaan dan pelbagai lagi. Bagi menghindari masalah tersebut, ikuti beberapa tip ini.

Proses detoksifikasi rumah
Sebenarnya, terdapat pelbagai punca yang menyebabkan berlaku alahan di dalam rumah. Masalah batuk, selesema dan sebagainya silih berganti setiap bulan walaupun telah dipastikan kawasan persekitaran bersih dan selamat. Setelah diteliti rupa-rupanya ada yang terlepas pandang pada si perokok. Asap rokok yang dihembus keluar mengandungi pelbagai bahan kimia berbahaya sekaligus memburukkan penyakit alahan. Oleh itu, sekiranya ada ahli keluarga anda yang merokok sebaiknya sediakan ruangan khas di luar rumah buat mereka agar keadaan di dalam rumah bersih dan terpelihara.

Bersihkan rumah secara rutin
Adakah anda tahu, bahawa habuk adalah penyumbang utama kepada alahan. Akibat habuk juga kita mudah berhadapan masalah kesihatan seperti pernafasan. Bagi menghilangkannya, lakukan kerja-kerja pembersihan debu secara rutin. Beri lebih perhatian kepada bantal, selimut dan permaidani kerana inilah kawasan tumpuan habuk.

Pasang perangkap
Nyamuk, lalat dan beberapa jenis serangga lain mampu mencetuskan alahan kepada penghuninya. Bagi mengelakkan hal ini dari terus 'menguasai' maka segeralah pasang perangkap sama ada dengan menggunakan ubat nyamuk atau apa sahaja alat yang mampu menghalangnya daripada masuk ke dalam rumah.

Pastikan aliran udara lancar
Terdapat kajian menunjukkan bahawa ada individu yang bermasalah apabila terhidu bau-bau yang kuat seperti tempoyak, petai, pewangi dan lain-lain lagi. Bagi mengelakkan masalah seumpama ini maka sentiasalah menjaga pengaliran udara di dalam kediaman. Setiap pagi, buka tingkap rumah agar udara dari luar bebas masuk ke segenap ruang di rumah.

Jaga kebersihan binatang peliharaan
Haiwan peliharaan juga boleh menyumbang terjadinya masalah alahan. Seperti kucing, arnab dan burung, bulu-bulu yang gugur menyebabkan anda mudah bersin sekali gus membuatkan penyakit mudah merebak. Salah satu cara yang dicadangkan adalah dengan cara memastikan binatang tersebut bersih. Mungkin dengan memandikan atau memeliharanya dari terkena penyakit kulit, kutu dan sebagainya.

Tuesday, April 29, 2014

CARA MUDAH ELAK MAKAN BERLEBIHAN

Kadangkala apabila berada di meja makan, kita menjadi sangat lapar sehinggakan tidak sedar kuantiti makanan yang diambil melebihi sepatutnya. Selain bersenam bagi mengurangkan berat badan, ada cara mudah bagi mengawal diet harian anda :

Tersenyum sendiri
Bagi mengekalkan berat badan sihat, anda boleh melakukan sesuatu untuk membuat diri tersenyum sendiri. Ahli-ahli sains di Brazil menyatakan serotonin, iaitu sejenis hormon gembira dikatakan boleh mengurangkan selera makan dan tahap yang lebih tinggi ia akan membuat anda lebih cenderung membakar lemak.

Guna penyepit semasa makan
Menggunakan sesuatu selain daripada tangan yang memang menjadi kebiasaan anda sangat membantu. Contohnya, menggunakan penyepit akan menjadikan anda lebih prihatin terhadap apa yang anda makan dan akhirnya akan menyebabkan anda menyudahkan sesi makan lebih awal. Ini kerana mengambil makanan dengan penyepit akan membuatkan anda 'bekerja lebih' sekiranya anda bukan seorang yang biasa menggunakannya.

Guna pinggan khas
Dengan menggunakan pinggan khas atau dikenali sebagai 'cheat plate' yang boleh didapati di kedai khusus, anda boleh mengasingkan bahagian makanan bersama gambar dalam saiz hidangan yang betul. Pinggan tersebut akan membahagikan beberapa bahagian untuk daging, bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran mengikut sukatan bagi pemakanan seimbang.

Tambah menu daging organik
Bakar (grill) 100gram daging kerana ia hanya mempunyai 148 kalori dan 4gram lemak. Tambahan pula, 26 gram protein tanpa lemak dalam daging yang telah dibakar boleh membuat anda cukup berpuas hati untuk menikmatinya.

Bangun awal
Menurut kajian Universiti Northwestern, mereka yang bangun lambat bukan sahaja makan lebih kalori (hampir 200 lebih pada majlis makan malam dan menjadi 375 lagi selepas lapan malam) tetapi juga makan dengan lebih tidak sihat daripada mereka yang bangun sekitar pukul lapan pagi.

Monday, April 28, 2014

SERUMAH TAPI TAK SEKEPALA


Melanjutkan pengajian sebaik tamat alam persekolahan mungkin memerlukan remaja meninggalkan keluarga. Baik tinggal di kolej mahupun rumah sewa suasananya pasti tidak sama dengan tinggal di rumah sendiri. Masalah biasa yang dihadapi ketika ini adalah berhadapan dengan 'housemate' atau rakan serumah atau sebilik yang tidak sebulu dengan anda. Ada saja perkara yang dilakukan menjengkelkan anda. Bukan sahaja soal kebersihan malah kerajinan membantu di dapur juga sering anda persoalkan. Semua itu disebabkan sikapnya yang degil dan pemalas sepanjang tinggal bersama di rumah sewa. Anda berhadapan teman serumah begini, pasti anda tidak tahan. Justeru, apakah saranan terbaik yang boleh anda praktik untuk menanganinya? Ikuti panduan ini.

Komunikasi
Masalah pertelingkahan mahupun permusuhan dalam diam yang dialami rata-ratanya disebabkan masalah komunikasi. Kegagalan berkomunikasi dengan baik membuatkan anda tidak dapat meluahkan apa yang dirasai dan begitulah sebaliknya. Oleh itu, anda perlu belajar untuk berkomunikasi dengan baik.

Teman anda barangkali tidak sedar bahawa dirinya diperhatikan dan menjadi musuh anda dalam diam. Baginya, apa yang dilakukan itu adalah yang terbaik dan betul untuk dirinya tanpa mengetahui bahawa perkara itu mengundang kebencian di hati anda. Justeru, berkomunikasilah dengan tepat, tegur dirinya dengan penuh hati-hati agar dia tidak merajuk dan menjauhi anda. Anda berdua adalah rakan serumah andai berlaku pertelingkahan pasti keharmonian tidak lagi wujud.

Teguran berhemah
Bukan semua orang mempunyai kebolehan untuk menegur secara berhemah. Paling penting, lapangkan dada dan banyakkan bersabar serta berfikirlah secara terbuka. Setiap orang mempunyai kelemahan dan kelebihan. Pastikan juga anda mengetahui apakah kelebihan teman serumah anda. Dahulukan ucapan teguran itu dengan memujinya terlebih dahulu. Kemudian barulah anda menegur bentuk kesilapan yang telah dilakukan sepanjang dia menjadi teman serumah anda.

Jangan pula anda senaraikan kesalahannya sekali gus. Tetapi terangkan satu persatu tanpa disedarinya. Misalnya semasa anda dan dia berada di dapur atau menonton televisyen. Sampaikanlah teguran itu dalam bentuk gurauan. Semoga teman anda memahami gurauan yang membawa maksud teguran itu.

Belajar menerima kekurangan teman
Bukan sahaja teman serumah, ada ketikanya anda juga ada kekurangan di pandangan mata teman. Sebaik-baiknya anda saling bertukar pandangan dan emosi mengenai apa yang anda dan teman anda lalui. Cara itu, hubungan menjadi lebih akrab. Anda belajar dan memahami kesukaran yang dihadapi dan pastinya teman anda juga akan berusaha untuk memahami anda.


Thursday, April 24, 2014

KEMBALI KUAT SELEPAS MUSIBAH

Hidup tidak selalunya indah. Ada kala kita di bawah dan pada hari lain kita gembira apabila berada di atas. Tangisan dan kegembiraan silih berganti dalam kehidupan. Inilah yang dikatakan lumrah kehidupan.

Dalam menempuh sebuah perjalanan, ujian sentiasa datang menguji kekuatan diri sehingga pada suatu ketika kita berasa sangat lelah dan mahu berehat daripada onak dan duri ini. Saat diri diuji, emosi kita mudah terjejas dan perasaan negatif terus menghimpit diri. Jangan hanyut dengan musibah yang datang sebaliknya bina kembali kekuatan diri.

Muhasabah diri
Terima segala ujian dengan hati terbuka. Anda mesti berlapang dada dan bersikap rasional, dengan cara ini menangani masalah dengan tenang. Audit kesilapan diri dan berusaha menjadi insan yang lebih baik.

Percutian
Depresi biasanya berlaku apabila anda terikat dengan jadual kerja yang padat. Usah sayang melaburkan sedikit wang agar anda dapat bercuti ke lokasi menarik bersama yang tersayang. Percutian adalah terapi yang dapat merawat minda, rohani dan tubuh anda.

Teroka benda baru
Rutin sama akan membuatkan anda cepat bosan. Pecahkan tradisi hidup dengan mencuba perkara baru yang menyeronokkan. Cari aktiviti atau hobi yang anda minati seperti menunggang kuda, kelas jahitan atau memasak.

Bersantai dengan keluarga
Luangkan masa berkualiti dengan keluarga. Keletah dan gelagat mereka pasti membuatkan anda terhibur. Malah ada petua yang mengatakan, apabila anda memeluk anak kecil, anda akan berasa lebih tenang dan gembira.

Bersiar dengan teman
Selain keluarga, teman-teman baik menjadi kekuatan anda. Jangan terlalu pentingkan kerja sehingga lupa bertanya khabar sahabat anda. Perkongsian dengan teman baik sedikit sebanyak memberi motivasi dan meringankan beban yang anda tanggung.

Beri ganjaran untuk diri
Kita selalu mengutamakan keperluan orang yang disayangi sehingga tanpa disedari, kita mengabaikan diri. Sebelum kita menghiburkan orang atau memberi ganjaran pada insan lain, lakukan dahulu pada diri sendiri. Orang bahagia akan membawa kegembiraan dan kebahagiaan kepada orang di sekeliling.

Bersenam
Senaman secara rutin bukan sahaja membuatkan tubuh lebih fit dan potongan badan menarik malah ia juga membantu meningkatkan tahap kesihatan. Paling menarik, senaman dapat menghilangkan tekanan. Segala tekanan dan bebanan dilepaskan menerusi aktiviti fizikal, hasilnya kita akan lebih gembira.


Belai tubuh dan wajah
Sesekali belanja diri anda dengan perawatan wajah dan tubuh di spa. Rawatan istimewa ini akan membuatkan tubuh dan minda lebih relaks. Urutan juga dikatakan dapat menghilangkan lenguh badan, melancar perjalanan darah dan membuatkan anda lebih ceria serta bertenaga.

Wednesday, April 23, 2014

AJAR ANAK BERWASPADA

 

Kejadian culik melibatkan kanak-kanak cukup memilukan. Kelekaan yang hanya beberapa minit kadangkala boleh membawa kepada suatu penyesalan yang tidak berkesudahan. Ibu bapa boleh mengambil tindakan awal dengan mengajar anak-anak tip ringkas di bawah yang cukup penting sebagai langkah memastikan keselamatan anak-anak apabila mereka tidak berada bersama anda.

  • Jika saya melihat orang yang tidak dikenali, saya mesti memberitahu kepada ibu bapa atau penjaga dengan segera.
  • Saya tidak akan membuka pintu rumah dan tidak akan membenarkan orang yang tidak dikenali masuk.
  • Saya tidak akan keluar rumah tanpa kebenaran ibu bapa atau penjaga terlebih dahulu.
  • Jika ada orang yang tidak dikenali menemui saya sewaktu di sekolah, saya mesti memberitahu guru dengan segera.
  • Saya tidak akan mengikut atau bercakap dengan orang yang tidak dikenali. Jika mereka memaksa saya akan menjerit.
  • Saya tidak akan menerima gula-gula, minuman atau hadiah daripada orang yang tidak atau baru dikenali.
  • Saya tidak akan menumpang kenderaan atau mengikut mana-mana orang yang tidak saya kenali.
  • Jika sesuatu perbuatan buruk dilakukan ke atas diri saya sewaktu di sekolah, di rumah atau di luar rumah, saya mesti memberitahu guru dan ibu bapa atau penjaga dengan segera.









Monday, April 21, 2014

AWASI ANAK DI RUMAH

Keselamatan anak-anak bukan sahaja melibatkan ketika mereka berada di luar rumah sahaja, bahkan di mana saja anak-anak terdedah dengan bahaya aspek keselamatan amat perlu dititikberatkan. The National Center Of Missing & Exploited Children di Amerika memberikan tip yang sesuai untuk dipraktikkan demi keselamatan anak-anak anda.

Saat berada di rumah
  • Setiap anak dilahirkan dan dianugerahkan nama yang indah-indah. Bonus buat ibu bapa yang sedari kecil telah mengajar si kecil menghafal empunya nama sendiri, lengkap dengan nama ibu dan bapanya juga. Bagi yang sudah ke prasekolah, latih mereka untuk menghafal nombor telefon ibu bapa dan juga alamat rumah.
  • Didik anak-anak cara untuk mendail nombor telefon anda mahupun nombor kecemasan seperti polis, bomba dan sebagainya.
  • Peringatan kepada ibu bapa, anda wajib memberi peringatan kepada anak-anak bahawa nombor-nombor kecemasan itu hanya boleh digunakan apabila keadaan benar-benar darurat dan bahaya.
  • Sekiranya anak-anak terpaksa ditinggalkan di rumah tanpa ditemani orang dewasa, pesan kepada anak-anak agar tidak membuka pintu rumah mahupun berbual dengan orang asing yang tidak dikenali.
  • Sekiranya anda menggunakan khidmat pembantu rumah, pastinya perasaan curiga terselit juga. Ada baiknya sesekali anda lakukan lawatan mengejut dan pulang ke rumah tanpa memberitahu pembantu rumah itu. Anda mungkin boleh melihat warna sebenar pembantu baru anda ketika anda tiada di rumah.

Ketika menelusuri dunia maya
  • Sebagai ibu bapa adalah lebih baik anda terlebih dahulu mempunyai sedikit ilmu berkaitan dunia teknologi internet.
  • Letakkan komputer di ruang yang mudah nampak, memudahkan urusan anda memantau apa yang dilayari oleh anak-anak. Buat aturan tentang penggunaan internet untuk anak serta awasi aktiviti online mereka.
  • Gunakan pengaturan 'Privacy' pada web jaringan sosial untuk mencegah capaian pengguna yang tidak jelas asal usulnya, serta galakkan anak menggunakan nama samaran yang ditampilkan di profil laman sosial.
  • Awasi dan ingatkan anak anda agar tidak memuat turun fotonya atau foto temannya yang melanggar norma kesopanan ketika ber'online'.

Apabila di luar rumah
  • Didik anak anda agar memaklumkan segala hal yang berkaitan dengan interaksi mereka dengan orang yang membuat anak anda berasa sedih, takut atau tidak selesa.
  • Sebagai ibu bapa anda perlu memperkenalkan jalan, tempat yang mudah dikenali sepanjang jalan, dan tempat yang selamat untuk bersembunyi atau meminta bantuan sekiranya mereka diikuti oleh orang yang mencurigakan.
  • Ingatkan anak agar sentiasa berteman apabila berjalan untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
  • Titipkan pesanan kepada anak-anak supaya tidak mudah menerima pelawaan orang yang tidak dikenali tanpa pengetahuan anda.
  • Ingatkan anak anda bahawa tidak mengapa mengatakan 'tidak' terhadap sebarang perbuatan yang membuatkan mereka berasa takut dan tidak selesa.
  • Ajar dan biasakan anak untuk meminta izin dahulu sebelum meninggalkan rumah.
  • Ingatkan anak anda agar tidak bermain atau berjalan di luar rumah sendirian.
  • Ajari anak anda agar tidak mendekati kenderaan yang mereka tidak kenal pemiliknya, dan pastikan mereka selalu didampingi orang tua atau orang yang mereka kenal.
  • Jika anda terlibat dengan acara keluarga di luar, tentukan satu titik berkumpul yang mudah dicari apabila anda dan anak anda terpisah.
  • Bantu anak anda untuk mengenali dan menghindari sesuatu yang berisiko membahayakan, sehingga mereka boleh mengatasinya apabila hal tersebut menimpa mereka.

Wednesday, April 16, 2014

8 PANDUAN SEBELUM MELABUR

 


Kita tertanya mengapa wang simpanan tidak mencukupi untuk sesuatu tujuan, sedangkan perancangan awal sudah dibuat. Wang yang disimpan masih sama jumlahnya. Masalah ini berlaku kerana simpanan di bank tidak dapat mengatasi masalah ini kerana kebiasaannya, kadar faedah tahunan yang ditawarkan oleh bank adalah lebih rendah dari kadar inflasi tahunan. Hanya dengan membuat pelaburan, potensi untuk mengatasi masalah ini dapat dicapai. Namun begitu perlu diingat, risiko pelaburan sangat tinggi, tanpa pengetahuan yang jelas ia akan lebih merugikan anda. Berikut merupakan beberapa tip yang dapat digunakan sebelum membuat pelaburan.

Kenali pelaburan
Jelas mengenai jenis pelaburan yang terdapat di pasaran. Sebagai contoh, pelaburan dalam pasaran modal seperti saham, bon, niaga hadapan, unit amanah ataupun dalam pasaran bukan modal seperti insurans, hartanah dan sebagainya. Jangan sesekali melabur berlandaskan naluri tanpa merujuk kepada apa-apa maklumat terlebih dahulu.

Tahu matlamat pelaburan
Ketahui matlamat sebenar pelaburan yang bakal anda lakukan. Adakah ia bersifat jangka pendek ataupun sebaliknya. Akhir sekali fokuslah terhadap matlamat pelaburan anda dan elakkan daripada dipengaruhi khabar angin. Elakkan juga diri anda dari tertipu oleh produk pelaburan palsu seperti skim cepat kaya dan sebagainya.

Sasar keuntungan yang diingini
Padankan matlamat pelaburan dengan profil pelaburan anda iaitu sasaran keuntungan yang anda inginkan dan juga risiko yang bakal anda hadapi. Pada dasarnya, pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan, risikonya jua tinggi, sebagai contoh melabur dalam bursa saham. Begitu juga yang sebaliknya.

Pilih pelaburan mengikut kemampuan
Setelah mengetahui kehendak diri, pastikan anda memilih produk pelaburan yang bertepatan dengan kehendak dan kemampuan anda. Sebagai contoh saham dan unit amanah adalah bersesuaian dengan pelabur runcit memandangkan modal awal yang diperlukan kecil berbanding niaga hadapan dan bon yang memerlukan modal awal yang besar.

Fokus pelaburan jangka panjang
Cuba untuk fokus kepada matlamat pelaburan jangka panjang kerana ia lebih berkesan berbanding pelaburan jangka pendek yang lebih terpengaruh dengan apungan pasaran yang tidak menentu. Ini akan menjejaskan potensi pelaburan anda.

Wujudkan portfolio
Jika anda mempunyai cukup masa, wujudkan satu portfolio pelaburan peribadi. Ini adalah bertujuan mengurangkan risiko seandainya sesuatu produk yang anda pilih mengalami kegagalan. Portfolio bermaksud melabur dalam lebih daripada satu produk pelaburan.

Tuesday, April 15, 2014

ADAB SEBAGAI TETAMU ELAK 7 PERKARA INI!

Abaikan tuan rumah dan tetamu lain
Bergaul dan berbual mesralah dengan tuan rumah serta tetamu lain. Jangan membawa diri kerana ia mencerminkan sikap negatif.

Berbisik dengan tetamu lain
Ini adalah satu tingkah laku kurang sopan kerana tidak hormati perbualan di antara tuan rumah atau tetamu-tetamu lain yang hadir. Pada tanggapan tetamu lain yang hadir, anda sedang bergosip walaupun sebenarnya anda menyampaikan sesuatu yang baik.

Menkritik atau memburukkan anak-anak tuan rumah
Sebagai seorang ibu atau bapa, anda pastinya akan berasa kecewa dan marah apabila anak-anak anda dikritik tentang perangai atau perilaku oleh tetamu yang hadir di rumah anda. Sebaliknya apabila anda sebagai seorang tetamu yang hadir di rumah seseorang, anda perlulah menjaga sensitiviti dengan tidak menyentuh soal yang berkaitan dengan hal-hal yang sememangnya negatif dari pandangan mata kasar anda terhadap anak-anak tuan rumah.

Menkritik masakan
Walaupun juadah yang dihidangkan oleh tuan rumah kepada anda kurang enak untuk dinikmati, jangan sekali-kali menkritik masakan yang telah disediakan oleh tuan rumah. Perbuatan ini memang menyakitkan hati tuan rumah.

Tergesa-gesa meninggalkan rumah
Setelah selesai menjamah juadah yang telah disediakan oleh tuan rumah kepada anda, ambil masa untuk berbual dengan tuan rumah berkenaan beberapa topik. Sebaiknya berikan sedikit pujian tentang masakan yang telah dinikmati tersebut. Sikap tergesa-gesa untuk pulang ini menggambarkan anda hanya datang untuk makan.

Bertanya soalan sensitif
Anda haruslah sentiasa mengetahui tentang perkara-perkara yang tidak perlu untuk anda bertanyakan kepada tuan rumah. Hormatilah sensitiviti tuan rumah anda dengan tidak bertanyakan soalan di luar jangkaan atau tidak rasional untuk dijawab.

Tidak mengucapkan terima kasih
Terima kasih boleh dinyatakan dalam pelbagai bentuk iaitu lisan, bertulis, atau beberapa hadiah kecil semasa ketibaan di rumah seseorang. Menyatakan terima kasih adalah penting bagi memaparkan penghargaan kerana anda telah dilayan dengan baik oleh tuan rumah. Setiap jemputan untuk menghadirkan diri ke rumah atau setelah selesai menjamah juadah yang telah disediakan perlulah diselitkan dengan ucapan terima kasih. Tidak ketinggalan juga apabila meninggalkan rumah seseorang. Ini menunjukkan anda berasa gembira dan sangat berterima kasih dengan layanan yang telah diberikan kepada anda.
Semestinya juga perkara di atas boleh diadaptasikan di dalam persekitaran pekerjaan. Contohnya apabila anda datang ke premis seseorang anda juga perlu menjaga adab dan tutur kata. Selain itu, adab ini juga perlu diterapkan kepada anak-anak, rakan-rakan serta ahli keluarga anda.

*SUMBER : PAKAR WENDY LEE, PRESIDEN MABIC (MALAYSIAN ASSOC. OF BRAND & IMAGE

Monday, April 14, 2014

MAKANAN DAN MINUMAN ELAK MENGANTUK

Kopi biasanya dijadikan minuman untuk mengelakkan rasa mengantuk. Namun tabiat minum kopi sebenarnya boleh menyebabkan ketagihan kafein. Pun begitu, masih terdapat cara mudah bagi anda untuk mengelakkan rasa mengantuk iaitu dengan mengambil makanan atau minuman berikut :




Makanan pedas
Makanan ini boleh mengurangkan rasa mengantuk tetapi pengambilannya perlulah dikawal kerana ia boleh juga mendatangkan kesan lain terutama bagi anda yang tidak tahan pedas. Berikan sedikit rasa pedas di dalam makanan boleh meransang perjalanan darah dan membuat kita tetap segar.

Coklat hitam
Pilih coklat hitam untuk hilangkan rasa mengantuk. Coklat hitam boleh meningkatkan semangat kerana ia meningkatkan hormon yang boleh menenangkan diri. Namun, awas! Hindari coklat yang tinggi pemanis tambahan.

Asam/makanan masam
Makanan masam seperti lemon, asam atau limau membantu memberikan vitamin C. selain itu, sensasi rasanya yang masam akan membuatkan anda berasa segar.

Epal dan tembikai
Makan epal dan tembikai yang segar serta manis boleh menyegarkan diri, bermula dari mulut, kerongkong, otak dan sehinggalah ke seluruh tubuh. Selain mengandungi vitamin, buah-buahan ini enak dinikmati sebagai snek menyihatkan.

Air putih
Air putih mampu mengelakkan tubuh dari dehidrasi sehingga dalam sekejap waktu selepas meminumnya, rasa mengantuk akan hilang. Cubalah terus minum air putih sebaik bangun daripada tidur dan anda akan merasa kesegarannya.

Friday, April 11, 2014

TIP ELAK KAKI BERBAU

 


Kaki berbau antara masalah yang sering membelenggu bukan sahaja wanita malah lelaki. Masalah ini tidak boleh dipandang remeh kerana ia menyebabkan rasa kurang senang kepada orang di sekeliling. Lebih memburukkan keadaan, kaki berbau juga antara penyebab seseorang dipinggirkan. Apa tidaknya, ia memberi persepsi negatif kepada orang yang berada di sekitar. Golongan yang berdepan masalah ini sering dilabel sebagai pengotor dan dijauhi kerana dianggap jijik serta boleh mendatangkan penyakit.

Akibatnya individu yang mengalami masalah tersebut menjadi seorang yang pasif, rendah diri, rimas dan dihukum dengan rasa malu. Malah aktiviti seharian mereka juga terjejas dan ia mempengaruhi kerjaya seseorang. Jika bau boleh dihidu dan menyebabkan orang berasa loya, bagaimana individu ini mahu bergaul dan meningkatkan prestasi kerjayanya? Biasanya golongan yang berdepan masalah bau kaki tidak serius mencari penyelesaian. Mereka lebih cenderung menggunakan produk seperti bedak khas atau pencuci. Hakikatnya bukan itu penyelesaian jangka panjang, ia berkait rapat dengan displin menjaga kebersihan diri dan mengamalkan gaya hidup serta pemakanan seimbang. Usah malu bertemu dengan doktor, lebih baik anda mendapatkan nasihat daripada tenaga pakar bukannya jurujual yang hanya mahu melariskan produk. Selain itu, terdapat tips asas penjagaan diri yang dapat membantu mengatasi masalah ini. Anda mesti displin dan bersikap terbuka untuk menerima serta mempraktikkan tip ini. Semoga panduan tersebut mengubah hidup anda!

Jaga kebersihan kaki
Ketika mandi, bersihkan kaki dengan sempurna. Gosok kaki agar sel kulit mati dapat ditanggalkan. Paling penting, gunakan sabun anti bakteria untuk menghilangkan kotoran di bahagian ini. Selesai mandi, lap kaki sehingga kering.

Potong kuku
Potong kuku secara tetap agar kebersihan terjaga. Ia juga dapat mengelakkan kuman berkumpul di bahagian kaki. Kuman tersebut antara faktor yang menyebabkan kaki berbau.

Elakkan guna losen
Jangan sesekali menyapu pelembap pada kaki sebelum memakai kasut. Kaki yang lembap adalah punca bakteria membiak. Gunakan bedak antiseptik untuk membuatkan bahagian kaki kering dan selesa.

Gunakan sandal ketika berjalan di luar rumah
Walaupun hanya berjalan di garaj kereta, pastikan anda memakai sandal atau selipar. Jangan berkaki ayam kerana ia menyebabkan kuman membiak dan menyebabkan bau yang busuk.

Kerap tukar stoking
Tukar stoking setiap hari agar kaki berada dalam keadaan bersih. Stoking yang digunakan kembali berbau peluh dan menyebabkan kaki berbau busuk. Gunakan stoking diperbuat daripada material berkualiti yang dapat menyerap peluh dengan baik.

Rehatkan kaki
Jika pekerjaan memerlukan anda memakai kasut bertutup dalam jangka masa yang lama, ketika waktu rehat 'bebaskan' kaki anda dengan memakai sandal. Ia memberi ruang kepada kaki untuk mendapat udara dan berehat. Cara ini juga dapat mengelakkan kaki berbau. 
 
Tukar kasut
Usah gunakan kasut yang sama setiap hari. Gantikan dengan kasut lain agar kasut yang dipakai sebelum ini dapat 'direhatkan'. Ia cara mudah untuk mengelakkan kasut menjadi busuk. Selain itu, pilih kasut mengikut kesesuaian aktiviti.

Mencuci kasut
Usah malas menjaga kebersihan kasut. Bersihkan kasut secara tetap dan basuh bahagian dalam untuk memastikan bakteria dan menghilangkan bau busuk.

Pilih kasut yang berkualiti
Kasut yang dibuat daripada plastik akan membuatkan kaki menjadi cepat panas dan berpeluh. Elakkan membeli kasut jenis ini sebaliknya pilihlah kasut yang mempunyai bahagian dalaman berasas kain. Ia dapat menyerap peluh dan membuatkan kaki anda selesa. Semasa membeli, pastikan saiz kasut sesuai. Jangan terlalu ketat kerana ia menyebabkan kulit sukar bernafas dan kuman mudah membiak.

Gunakan pelapik
Bagi yang kuat berpeluh, anda boleh membeli pelapik bahagian dalaman kasut. Ia bukan sahaja dapat melindungi kaki dan mengelakkan bau malah pelapik kasut mudah dicuci dan cepat kering.

Penyimpanan yang bijak
Koleksi kasut anda mesti disimpan di tempat yang redup dan udaranya lancar. Letakkan gel silica di dalam kasut, ia dapat mengelakkan bau busuk kerana gel ini menyerap peluh dan kelembapan.

Thursday, April 10, 2014

PANDUAN BERJIMAT DI MUSIM PERAYAAN

Buat berbanding beli
Masa yang terhad membuatkan sesetengah orang lebih senang menempah atau membeli. Sama ada lemang, ketupat, nasi impit, rendang dan biskut raya, anda hanya perlu keluarkan wang dan makanan sudah tersedia. Sebenarnya melakukan sendiri adalah lebih menjimatkan.

Amal sistem giliran
Ada kebaikannya mengamalkan sistem untuk pulang berhari raya di kampung. Ia amat praktikal jika jarak di antara kampung anda dan pasangan jauh. Melalui kaedah ini, ia dapat menjimatkan kos petrol, tol dan sebagainya. Bagaimanapun untuk merealisasikannya memerlukan persefahaman di antara kedua-dua belah pihak.

Singkatkan masa bercuti
Bercuti panjang bermakna pelbagai agenda mahu dilakukan. Bukan sekadar meraikan Aidilfitri dengan mengunjungi saudara mara dan rakan-rakan tetapi ada pula yang mengambil kesempatan untuk bercuti ke lokasi menarik. Tentunya bukan sedikit perbelanjaan yang perlu dikeluarkan.

Masak dalam kuantiti yang kecil
Lazimnya para ibu gemar memasak dalam kuantiti yang besar, bimbang jika tetamu yang hadir tidak dapat merasai juadah pada hari raya. Tidak salah untuk anda meraikan tetamu tetapi biarlah berpada. Tidak perlu makanan yang banyak, memadai untuk mengisi perut sahaja. Lagipun mereka mengunjungi ke rumah anda untuk beramah mesra di samping saling bersalaman memohon maaf.

Wang raya sekadar termampu
Amalan bersedekah amat digalakkan. Bagaimanapun ketika memberi wang raya kepada kanak-kanak, berilah mengikut kemampuan anda. Bagi kanak-kanak, menerima sahaja sampul wang sudah cukup menggembirakan tanpa mengetahui jumlahnya. Paling penting keikhlasan anda.

Hadkan pembelian biskut raya
Biskut begitu sinonim dengan perayaan. Ada yang rajin menyediakan sendiri dan tidak kurang juga yang membeli sahaja. Tentunya begitu banyak pilihan yang ditawarkan sehingga rambang mata ketika membeli. Sebaiknya beli secukupnya sahaja sebagai pelengkap meja. Walaupun cantik di mata, tetamu lebih gemarkan menikmati makanan tradisional dan kerepek.

Rancang perjalanan
Lebih banyak rumah yang ingin dikunjungi, lebih banyak petrol yang perlu diisi ke tangki kenderaan anda. Oleh itu, rancang perjalanan anda dengan bijak. Jelajahi rumah-rumah saudara terdekat yang berada di kawasan sekitar sebelum mengunjungi yang tinggal lebih jauh.

Guna kembali
Barangan perhiasan rumah seperti langsir, alas meja, bekas makanan, pinggan mangkuk dan sebagainya tidak perlu ditukar saban tahun. Gunakan sahaja selagi ia masih dalam keadaan baik. Jangan risau kerana tidak akan ada tetamu bertanyakan mengenai langsir yang diulang tayang itu.

Bancuh sendiri
Ada yang lebih senang menghidangkan minuman berkarbonat kepada para tetamu. Mudah. Hanya masukkan sedikit ais dan tuangkannya ke dalam gelas. Bukankah lebih menjimatkan jika anda membuat pati sirap dan membancuhnya apabila tetamu datang? Dengan cara ini anda dapat menjimatkan begitu begitu bannyak wang dan mengelakkan masalah kesihatan.

Wednesday, April 9, 2014

PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR KEMBALI LAGI

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014 kembali lagi... Jom kita bawa semua ahli keluarga dan sanak saudara pergi ke sana untuk memeriahkan lagi pesta ini... Semakin banyak kita membaca, semakin luas pengetahuan kita tentang sesuatu perkara. Pelbagai buku boleh didapati di sana dengan harga yang sangat berpatutan... Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur ini akan bermula pada 24 April sehingga 4 Mei 2014...

JUMPA ANDA DI SANA...

Monday, April 7, 2014

BISA RACUN SEMUT KAYAP

Di kalangan masyarakat tempatan ia dikenali sebagai semut kayap atau semut semai. Hakikatnya, haiwan kecil ini bukanlah sejenis semut sebaliknya kumbang atau Paederus littoralis. Secara morfologi, serangga ini mempunyai badan yang sempit dengan kepala hitam dan sekurang-kurangnya dua segmen abdomen iaitu protaks dan lima segmen abdomen yang berwarna kemerah-merahan. Bersaiz dari 10 hingga 15 mm panjang, kumbang ini boleh terbang, tetapi lazimnya ia berjalan.

Hasil penelitian dan kajian yang dijalankan menunjukkan, kumbang ini amat tertarik kepada sumber cahaya buatan seperti lampu neon. Aktiviti maksimum kumbang ini adalah di antara bulan Mei dan September. Ia menggemari kawasan lembap dengan iklim panas tropika dan banyak terdapat di kawasan sawah padi dan berhampiran ladang kelapa sawit. Semut kayap atau semut semai tidak menggigit atau menyengat, tetapi apabila dihancurkan dan terkena kulit atau mata, cecair hemolimfa di dalam badannya yang mengandungi pederin boleh mengakibatkan kerengsaan dan kesan lepuh yang teruk pada kulit. Dalam tempoh 24 jam sahaja, pederin boleh menyebabkan kerengsaan dermatitis akut, dicirikan oleh rasa terbakar, yang boleh dikaitkan dengan kehadiran vesikel, bula atau pustul pada kawasan yang terkena dengannya.

Luka ini biasanya sangat gatal dan menyakitkan dengan pembentukan kuping mati yang akan tanggal dalam tempoh sepuluh hingga dua belas hari selepas terkena pederin. Kawasan kulit tersebut akan menjadi gelap, berpigmen yang mungkin berterusan untuk beberapa minggu atau bulan

Tiada rawatan khusus

Tiada rawatan khusus boleh diberikan kepada pesakit yang terkena pederin daripada kumbang ini. Rawatan adalah berdasarkan gejala dan bersifat sokongan sahaja. Penggunaan ubat tahan sakit dan krim antihistamin dan steroid didapati tidak begitu berguna dalam merawatnya. Walau bagaimanapun, luka-luka yang disebabkan oleh cecair ini perlu dilindungi untuk mengelakkan luka tersebut terkena jangkitan kuman yang boleh menyebabkan kompilasi lain.

Kesan pederin hanyalah pada kawasan yang bersentuhan dengannya sahaja dan sehingga ke hari ini, TIADA sebarang kesan sistemik telah dilaporkan. Namun demikian, pernah dilaporkan pederin boleh menyebabkan kebutaan setelah digosok pada mata. Oleh itu, jika cecair ini terkena mata atau mana-mana bahagian badan, mangsa hendaklah segera membilasnya dengan air yang banyak dan jangan sesekali menggosoknya pada bahagian badan yang lain.

Bagi mengurangkan kontak dengan serangga ini, jejaring kalis serangga boleh diletakkan di bahagian tingkap dan pintu rumah. Penggunaan racun serangga seperti 2-isopropoxyphenyl N-methylcarbamate, malation dan d-tetramethrin boleh disembur di sekitar sawah padi untuk mengurangkan populasinya.

*Nota : Pederin adalah sejenis alkaloid dengan ketoksidan yang lebih tinggi daripada venom Latrodectus (labah-labah) dan / atau parathion (pestisid paling toksik yang didaftarkan di bawah Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (EPA)(Pavan, 1959)

Sumber : Sazaroni Md Rashid, Pegawai Farmasi, Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...