MAKLUMAN PENTING!! Sila maklum pada kami sekiranya anda telah bertukar ke mana-mana tempat pertukaran bagi pengemaskinian data ahli anda. Kerjasama anda amat dihargai. Terima kasih.

JUDUL BUKU TERKINI

Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural

Monday, August 17, 2015

Kibar ‘Jalur Gemilang’, Semarakkan Sambutan Kemerdekaan


Bulan Ogos dan September merupakan bulan-bulan bersejarah buat negara kita yang tercinta. Ogos adalah bulan kemerdekaan, manakala September merupakan hari Malaysia. Negara kita mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, manakala penubuhan Malaysia pula ialah pada 16 September 1963. Ini bermakna pada tahun ini kita menyambut hari kemerdekaan negara ke-55 dan hari Malaysia yang ke-49. Sabah dan Sarawak merdeka pada hari penubuhan Malaysia. 

Justeru, kedua-dua bulan ini dianggap sebagai bulan sambutan kemerdekaan. Apa jua acara dan aktiviti memperingati kemerdekaan sangat sesuai dilakukan sepanjang bulan kemerdekaan ini.  Antara aktiviti atau amalan yang boleh dikatakan sinonim dengan sambutan bulan kemerdekaan ialah aktiviti kibar ‘Jalur Gemilang’, iaitu bendera rasmi negara. Bagi mereka yang nipis semangat patriotisme atau kenegaraannya mungkin akan bertanya, “apa faedahnya mengibarkan bendera?” 

Sebaliknya, bagi mereka yang faham dan menebal semangat kenegaraannya akan berfikir secara positif erti sebuah bendera. 

Walaupun bendera hanyalah selembar kain yang dicorakkan dengan warna dan lukisan tertentu, namun bagi rakyat yang tinggi sifat patriotisme melihat bendera kebanggaan negara itu mempunyai nilai dan darjat yang cukup istimewa. 

Memang makna dan erti sebuah bendera sangat dalam dan berharga. Bagi sebuah negara berdaulat, bendera merupakan simbol dan juga identiti utama bagi negara itu. 

Bendera melambangkan kedaulatan, kemerdekaan dan kebebasan sesebuah negara. Ia juga memiliki makna ideologi bagi negara itu. 

Ketika negara akan diisytiharkan merdeka, maka saat paling dinanti-nantikan ialah penurunan bendera penjajah. Tepat pada jam 12.00 tengah malam, 31 Ogos 1957, bendera 'Union Jack' diturunkan lalu bendera negara pun dikibarkan sebagai tanda lahirnya Persekutuan Tanah Melayu sebagai sebuah negara yang merdeka. 

Justeru, bendera adalah saksi sejarah terhadap kemerdekaan, kedaulatan dan kewujudan identiti kita sebagai sebuah negara bangsa yang berdaulat di pentas dunia. 

Kajian ilmu tentang bendera (ilmu veksilologi) yang diasaskan oleh seorang Amerika Syarikat (AS) bernama Whitney Smith pada tahun 1957 adalah bukti begitu pentingnya nilai dan makna bendera bagi bangsa yang bertamadun. 

Kajian tentang bendera ini cukup luas cakupannya merangkumi sejarahnya, reka bentuknya, bahagian-bahagian dari bendera tersebut, gaya, warna, gambarnya, protokol-protokol bendera dan apa jua yang berkaitan dengan bendera. 

Sepanjang sejarahnya, bendera yang digunakan oleh pelbagai bangsa dan negara itu mempunyai variasi (kepelbagaian) yang unik. Pada awalnya, bendera digunakan untuk membezakan pihak yang sedang berperang. 

Dalam sejarah perang salib antara Islam dan Kristian, kedua-kedua pasukan terbabit akan membawa dan mengibarkan bendera mereka bagi membakar semangat tentera dan rakyatnya. 

Tugas memegang bendera biasanya diserahkan kepada seorang atau beberapa pahlawan yang kental semangat juang agar tidak jatuh ke tanah. Mereka akan mempertahankan bendera masing-masing sebagai lambang kedaulatan. 

Dalam keadaan kucar kacir ketika peperangan, bendera pasukan akan dijulang tinggi ke udara supaya seluruh tentera segera berkumpul pada bendera tersebut bagi menantikan arahan selanjutnya daripada kepimpinan pasukan. 

Penggunaan bendera kemudiannya berkembang sebagai simbol kelompok masyarakat, kelompok agama serta kelompok-kelompok lainnya. Akhirnya, bendera menjadi simbol negara-bangsa dan juga organisasi-organisasi seperti yang kita kenal sekarang ini. 

Jelaslah bahawa kewujudan bendera itu mempunyai akar umbinya tersendiri. Seorang warganegara yang baik dan prihatin terhadap kedaulatan negaranya akan memberikan penghormatan sewajarnya terhadap bendera tanah airnya. Ia tidak akan memijak, menconteng dan mengoyakkan bendera tanah airnya. 

Ia juga akan memastikan bendera yang ingin dikibarkan itu berada dalam keadaan yang baik dan sempurna. Bendera akan dilipat dan dibentangkannya dengan baik dan tertib serta diletakkan di tempat yang bersih dan layak. 

Bendera bagi sesebuah negara turut dihargai oleh negara atau bangsa lain. Misalnya, apabila ketua tertinggi sesebuah negara itu mengadakan kunjungan hormat ke sebuah negara lain maka bendera negara tamu itu akan turut dikibarkan mengikut protokolnya. 

Dalam pertandingan sukan antarabangsa, bendera negara-negara yang mengambil bahagian akan dikibarkan dengan megahnya. 

Namun, kerap juga berlaku bendera bagi sebuah negara dijadikan sasaran oleh negara lain terutamanya ketika saat krisis kedua-dua negara itu menjadi genting. Mungkin rakyat dari salah sebuah negara yang berkrisis itu menunjukkan kemarahan atau protes mereka dengan cara membakar, mengoyak dan memijak bendera seterunya. 

Justeru, sudah sewajarnya di seluruh pelosok tanah air, pada saat bulan kemerdekaan ini mengibarkan Jalur Gemilang di premis-premis bangunan, kediaman dan kenderaan. 

Memang benar mengibarkan bendera bukannya satu-satu cara untuk menunjukkan semangat patriotisme tetapi setidak-tidaknya sambutan kemerdekaan negara yang disambut setahun sekali itu dipamerkan melalui kemeriahan kibaran Jalur Gemilang. Apatah lagi jika ia dilakukan dengan penuh penghayatan terhadap erti sebuah kemerdekaan. 

Oleh itu, tradisi mengibarkan bendera kemegahan negara pada bulan kemerdekaan tidak seharusnya luntur dari sanubari rakyat negara ini. 

PENULIS ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih di atas komen / cadangan anda...


Perpustakaan, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia