Friday, March 28, 2014

JAUHI TEKANAN EMOSI NEGATIF

 



Emosi sering kali mengganggu fikiran sesiapa sahaja. Pelbagai emosi yang lahir dari hati apabila hati kita berasa sedih, kecewa, marah, gembira dan sebagainya. Emosi sedih, kecewa dan juga marah akan membuatkan seseorang berasa kurang selesa dan mungkin juga menjadi seorang yang sangat kusut dan tidak terjaga. Jauhi dari menjadi seperti ini kerana ia akan menjejaskan imej seseorang dan juga emosi seperti ini akan mengganggu seseorang untuk tidak berasa bahagia. Jadi kita haruslah bijak menjaga emosi untuk tidak terlampau ketara yang kita mempunyai masalah.


Thursday, March 27, 2014

BANYAKKAN MEMBACA

Membaca adalah salah satu cara untuk mengelakkan diri daripada nyanyuk. Ini kerana, kurangnya seseorang itu membaca buku. Dengan membaca kita akan mendapat ilmu dan juga menguatkan daya ingatan serta menjadi seorang yang tidak mudah nyanyuk sebelum waktu. Oleh itu, sentiasalah membaca buku agar dapat mengatasi masalah nyanyuk.

Tuesday, March 25, 2014

TIP JADI RAKAN SEKERJA DISUKAI RAMAI

Selain bersikap profesional, hubungan baik dengan rakan sekerja juga amat penting untuk mewujudkan suasana kerja harmoni. Bahkan, untuk menjadi seorang pekerja berjaya, hubungan seperti ini boleh dikatakan salah satu penyumbang utama ke arah kecemerlangan. Memandangkan kerjasama yang dijalinkan mampu melahirkan kehidupan positif untuk masa depan, kikis sikap cemburu, iri hati dan pilih bulu ketika di pejabat. Semak tip mudah ini jadilah rakan sekerja yang disukai ramai.

Ucap selamat pagi
Ucapan ini berperanan dalam mewujudkan suasana kerja yang harmoni dan mesra. Biarpun pada mula ada di antara mereka mula tersenyum dan mentertawakan tindakan awal anda ini, namun lambat laun mereka akan menerima dan menyenanginya. Jangan batasi ucapan salam tersebut, ia haruslah diteruskan kepada sesiapa sahaja, tanpa mengira pangkat dan jabatan mereka. Jika anda melakukan sebarang kesalahan ucaplah kata maaf dan terima kasih kepada mereka. Pasti mereka akan merasa diri dihargai.

Selesaikan tugas sepenuh hati
Tugas yang diberikan oleh ketua tanggungjawab perlu diselesaikan dengan sepenuh hati. Seandainya berlaku kesalahan yang tidak dapat dielakkan, janganlah mudah menuding jari kepada orang lain. Sebaliknya, selidiknya terlebih dahulu agar rakan sekerja tidak terasa hati dengan sikap anda.

Jangan sombong
Sesiapapun tidak mampu untuk hidup sendiri tanpa bantuan orang lain. Justeru, janganlah bersikap sombong dan hulurkanlah bantuan sekiranya teman sekerja memerlukan bantuan daripada anda. Sikap terlalu mementingkan diri hinggakan tidak peduli rakan sekerja yang dilanda masalah bukanlah satu sikap yang baik dan menguntungkan. Sebaliknya, anda dianggap seorang rakan yang sombong, ego dan tidak layak dijadikan kawan. Bantuan yang diberikan akan membuatkan mereka dihargai dan hubungan antara anda akan bertambah baik.

Elak hutang dengan kawan
Sebaiknya elak daripada berhutang dengan kawan-kawan. Sekalipun anda memang benar-benar kesempitan wang, carilah kawan yang benar-benar boleh dipercayai. Agar kepercayaan ini disimpan dalam hati dan tidak disebarkan kepada orang lain. Jangan liat melunaskan hutang, sebaliknya jujur dan maniskan mulut dengan ucapan terima kasih dan maaf saat anda membayar segala hutang anda ini.

Hargai privasi
Biarpun hubungan anda dengan rakan sekerja sudah terlalu akrab, namun hargailah privasi rakan. Jangan sampai anda bersikap kurang manis dengan terus melulu masuk ke biliknya tanpa mengira waktu dan masa yang sesuai. Selain itu, jangan baca e-mel orang lain dan surat dikirimkan tanpa keizinan serta minta izin terlebih dahulu sebelum mengambil dan meminjam sebarang peralatan di atas mejanya walaupun sebatang pen.

Murah hati
Jangan lupa membawa buah tangan buat teman sekerja sekiranya anda pulang ke kampung atau ditugaskan bekerja di luar kawasan. Biarpun harganya murah, namun mereka akan terasa dihargai dengan ingatan anda.

Tunjukkan simpati
Adakah anda sedar bahawa sebahagian besar masa anda dihabiskan bersama teman sekerja di pejabat? Oleh itu wujudkanlah suasana kekeluargaan bersama teman-teman sepejabat. Janganlah anggap mereka ini sekadar rakan sekerja, sebaliknya anggaplah mereka ini sebagai sahabat baik dan ahli keluarga sendiri.

Friday, March 21, 2014

TENANG DAN GEMBIRA DI HARI PERTAMA BEKERJA

Hati pasti berdebar-debar tapi pada masa yang sama gembira melalui hari pertama sebagai pekerja selepas beberapa tahun bergelar pelajar. Namun apakah persediaan sebagai seorang yang bakal bergelar individu berkerjaya? Adakah cukup dengan kelulusan baik yang dimiliki untuk menyesuaikan diri dalam situasi baru yang nyata jauh berbeza dengan dunia pelajar? Pihak majikan tentu meletakkan harapan tinggi terhadap kemampuan anda menyumbangkan sesuatu untuk syarikat. Jadi anda yang terpilih sebagai kakitangan baru pasti punya persediaan rapi untuk memastikan syarikat tidak tersilap memilih anda sebagai salah seorang kakitangannya. Tidak perlu panik atau risau untuk menghadapi hari pertama bekerja. Semak panduan berikut yang mungkin membantu anda menghadapi hari pertama dengan tenang dan gembira.

Sampai awal
Anggap hari pertama sama seperti anda ditemu bual. Kesan pertama amat penting jadi anda harus bersedia secara fizikal dan mental. Kemaskan diri dengan penampilan bersih dan bersesuaian. Pastikan mengambil sarapan pagi kerana anda tentu masih tidak tahu tentang perkara tersebut pada hari pertama bekerja. Sebaiknya sampai awal di pejabat untuk mengelak anda lebih rasa tertekan.

Buang perasaan malu
Perkenalkan diri pada semua kakitangan yang ada di pejabat. Buang rasa malu dan ketepikan perasaan malas. Sebenarnya ia adalah mukadimah terbaik untuk perkenalan yang lebih rapat dengan teman-teman sepejabat.

Murah dengan senyuman
Tunjukkan sikap peramah dan murah dengan senyuman. Ia boleh memberi maklum balas positif pada orang yang memberi dan menerimanya. Senyuman menunjukkan isyarat bahawa anda telah membuka diri kepada orang-orang lain yang ditemui. Dengan senyuman juga, rakan kerja akan lebih senang menerima kehadiran anda.

Tidak segan bertanya
Pasti anda masih kurang pengetahuan mengenai latar belakang syarikat. Jangan segan silu bertanya kerana rakan kerja pasti berasa senang membantu menjelaskan kemusykilan anda mengenai tugas dan syarikat. Jika anda pernah bekerja di tempat lain, ingatlah bahawa setiap syarikat memiliki sistem operasi yang berbeza. Jangan sesekali anda membezakan syarikat baru dan lama. Tentu rakan sekerja akan terfikir mengapa anda mencari kerja lain jika anda masih setia di syarikat lama.

Usah banyak bercakap
Tentu tidak manis sekiranya anda pula banyak bercakap dan memberi komen apa yang tidak kena di syarikat itu kepada rakan-rakan senior yang lain. Jika adan sesuatu yang menyebabkan anda tidak berpuas hati, cukup sekadar memerhati dan mendengar dahulu. Juga jangan banyak bercakap, jadi pendengar yang baik.

Elak jadi tumpuan
Setiap yang baru pasti akan mendapat perhatian ramai. Walaupun anda mendapat tumpuan kerana kehadiran dan penampilan yang menyakinkan sebagai kakitangan baru, namun jangan jadikan diri seolah-olah badut untuk ditonton. Tetap rendah hati dan menghindarkan diri dari pusat perhatian.

Jangan berlagak sombong
Walaupun anda ditawarkan jawatan berhierarki tinggi, namun ia bukanlah alasan untuk anda bersikap sombong dan tidak mahu menegir kakitangan bawahan lain. Bukankah anda memerlukan kerjasama daripada mereka untuk melancarkan tugas anda sebagai ketua? Sesungguhnya bersikap sombong itu hanya akan memakan diri sendiri kerana akhirnya diri tidak disukai oleh kakitangan dan teman sepejabat.

Tuesday, March 18, 2014

ADIK HADIR, KAKAK@ABANG TERBUANG

Sifat mencemburui saudara kandung sendiri andai tidak dikawal boleh mengundang bahaya dalam hubungan. Sering kali diperhatikan, anak sulung akan mula menjauh hati apabila hadirnya seorang adik. Barangkali si sulung ini merasakan kasih sayang ibu dan ayah yang mulai terbahagi dua. Jika sebelum ini sepenuhnya kasih dicurahkan padanya, kini tidak lagi. Andai tidak dibendung, nanar itu akan terus membengkak sehinggalah usia anak meningkat remaja. Cemburu terus merajai hati seorang kakak atau abang. Lalu apa penyelesaian terbaik untuk berhadapan konflik mencemburukan saudara sendiri ini.

Terima kehadiran adik dengan lapang dada
Untuk mendidik perasaan agar tidak mencemburui adik kandung sendiri? Memerlukan latihan hati. Ajar diri sendiri agar menerima setiap perbuatan adik dengan lapang dada. Bertolak ansur adalah cara yang paling baik. Tidak salah seorang kakak beralah dengan adik sendiri. Siapa tahu kelak, adik itu yang akan membantu menyelesaikan masalah anda.

Berfikiran terbuka
Andai orang tua melebih-lebihkan adik, jangan pula terasa dengan tindakan mereka. Barangkali mereka tidak sedar atau sudah terbiasa berbuat demikian. Mereka tidak sedar bahawa anda juga memerlukan perhatian daripada mereka. Ajarlah diri sendiri untuk lebih bersabar dan menerima tindakan dengan fikiran terbuka.

Air yang dicincang tidak akan putus
Anda sebenarnya perlu percaya dengan pepatah ini. Walau sekeras mana pun hubungan anda dengan adik, percayalah pertalian darah antara kalian tidak mungkin dipisahkan dengan hubungan renggang itu. Suatu hari nanti, ia pasti akan bercantum semula.

Belajar menjadi matang
Andai ketegangan tidak dapat dirungkaikan, sebaik-baiknya belajar untuk menjadi seorang yang matang. Anggaplah setiap tindakan adik yang menyakitkan itu hanyalah sekadar mahu meraih perhatian anda. Apabila anda mula melatih diri menjadi seorang yang matang, anda tidak akan mengambil hati dengan setiap perkara kurang enak yang berlaku antara anda dan adik. Sesungguhnya anda tidak mampu mengawal keadaan di sekeliling, namun anda berupaya mengawal diri anda sendiri.

Elakkan memberontak
Orang di sekeliling pasti akan mempunyai gambaran tersendiri mengenai diri anda. Yang pasti hanya anda yang tahu hakikatnya perasaan dan diri anda ketika ini. Andai anda membiarkan orang di sekeliling mengawal pemikiran dan perasaan anda, ia adalah kesilapan besar. Sebaik-baiknya, bertenang dan bertindaklah agar orang tua lebih senang dengan anda. Jangan sesekali memberontak.


MENGAPA WUJUD PILIH KASIH?
Tiada ibu dan ayah mahu membezakan kasih antara anak-anaknya. Namun, perasaan itu pasti akan muncul juga di kalangan anak-anak. Ketahui apa penyebabnya.

Cemburu
Sama ada ia disebabkan cemburu kerana ibu melebihkan adik, kakak atau sebaliknya. Kecemburuan yang tidak dibendung inilah akhirnya menyebabkan perselisihan faham yang berpanjangan.

Tidak berpuas hati
Setiap pembahagian daripada orang tua anda anggap tidak berlaku adil. Misalnya ibu melebihkan barangan adik disebabkan mahu anda beralah dengan adik. Ada kalanya ibu melebihkan kakak kerana mahu anda menghormati si kakak. Keadaan itu menyebabkan berlaku ketidakpuasan hati di jiwa anak-anak.

Rapuhnya institusi kekeluargaan
Apabila hubungan kekeluargaan semakin renggang, setiap ketidakpuasan hati yang berlaku di kalangan anak-anak akan menjadi besar. Ibu bapa perlu memainkan peranan menjadi orang tengah untuk mendamaikan pertelagahan.

Jangan membanding
Sikap ibu bapa yang suka membandingkan antara anak-anak juga boleh menjadi penyebab emosi anak-anak terganggu dengan sikap pilih kasih. Sebaik-baiknya ibu menghargai setiap kelebihan dan menerima setiap kekurangan anak mereka.

Friday, March 14, 2014

TANDA-TANDA BUASIR


Antara tanda-tanda anda mengalami buasir adalah :

  • Rasa gatal atau sakit di sekeliling dubur.
  • Luka pada saluran dubur disebabkan nanah.
  • Rasa kepanasan selepas membuang air.
  • Rasa sakit berdenyut.
  • Darah segar yang menitis ketika membuang najis.
  • Rasa pedih sekitar rektum.
  • Sukar membuang air besar.
  • Nanah di kawasan dubur disebabkan jangkitan bakteria.
  • Tidak selesa pada bahagian dubur ketika berdiri atau bertinggung lama.


PANDUAN PEMAKANAN
Antara panduan pemakanan untuk pesakit yang mempunyai masalah buasir ini adalah :

  • Minum banyak air sekurang-kurangnya 8 hingga 10 gelas air sehari bagi mengelakkan badan kekurangan air, sekaligus melancarkan pembuangan najis. (anggaran dua hingga tiga liter).
  • Elakkan minuman berkafein seperti teh dan kopi.
  • Jangan mengambil makanan tidak berkhasiat seperti keropok dan minuman berkarbonat.
  • Jangan makan makanan yang keras atau terlalu pedas.
  • Makan makanan yang berserat tinggi seperti bijirin, sayur-sayuran dan buah-buahan. Serat membantu proses penghadaman dan melancarkan pembuangan najis.
  • Makan makanan yang bersih dan baru dimasak untuk mengelakkan keracunan yang boleh menjadikan buasir bertambah teruk.
  • Kurangkan pengambilan makanan segera ataupun makanan terproses.
  • Sentiasa bersenam seperti berjalan kaki dan berenang. Elakkan sukan berkuda atau berbasikal.
  • Rawatan ringkas boleh dilakukan dengan merendam dubur dalam air garam yang suam selama 10 minit, satu atau dua kali sehari apabila ada tisu bengkak di dubur. Garam yang digunakan adalah garam masak yang biasa. Proses ini dipanggil sitz bath. Air garam mempunyai dua fungsi iaitu mengecutkan tisu yang bengkak dan meredakan kesakitan.
  • Jangan meneran ketika membuang najis dan disyorkan menggunakan tandas duduk untuk mengurangkan tekanan pada buasir.
  • Perbaiki peredaran darah anda dengan melakukan senaman. Ketat dan kendurkan otot-otot di celah kaki anda sekerap mungkin secara perlahan-lahan. Kurangkan tekanan daripada rahim, dengan meninggikan peha anda di atas bantal, atau berlutut dengan cara bersujud beberapa saat.
  • Hentikan tabiat merokok dan minuman beralkohol.

Wednesday, March 12, 2014

BAGAIMANA MEMBACA MERANGSANG OTAK





PERTAMA : Membaca satu senaman minda. Dengan membaca, sel-sel otak akan menjalankan proses aktif minda menyebabkan seseorang mampu berfikir dengan baik.

KEDUA : Otak lebih cepat fokus. Melalui pembacaan, otak akan lebih fokus ketika melakukan sesuatu aktiviti.

KETIGA : Membaca meningkatkan kreativiti berfikir. Apabila seseorang banyak membaca, ia pastinya mampu mengeluarkan idea-idea di luar kotak.

KEEMPAT : Membaca rangsang memori. Jika memori tidak dirangsang, ingatan akan lemah. Permainan teka teki lebih mudah untuk meningkatkan memori. Sekaligus, elak nyanyuk di usia tua.

KELIMA : Membaca meningkatkan kemahiran komunikasi. Dengan banyak membaca, banyaklah pengetahuan yang akan diperolehi sekaligus membina keyakinan untuk berkomunikasi dengan sesiapa sahaja.



Monday, March 10, 2014

KENAPA TIDAK HAUS KETIKA TIDUR?

Perasan atau tidak, dalam satu malam berapa kerap anda bangun untuk minum air? Sekali, dua kali atau lebih daripada tiga kali? Usah terperanjat kalau ada yang mengatakan, mereka tidak pernah bangun ketika tidur untuk minum air.

Dengan kata lain, jarang sekali berlaku simpton dahaga ketika tidur khususnya bagi manusia yang normal dan sihat. Begitulah hebatnya ciptaan Allah apabila kejadian malam untuk manusia diberikan sepenuhnya untuk berehat tanpa diganggu oleh keadaan-keadaan tertentu. Bayangkan, jika dalam satu malam, kita terpaksa bangun berkali-kali kerana tekak sering merasa dahaga. Anda akan merasa letih bila bangun keesokan harinya. Ini sudah tentu jawapan yang pasti. Tetapi Allah tidak menjadikannya begitu. Ternyata ciptaan Allah cukup sempurna kerana Allah Maha Mengetahui bahawa manusia memerlukan masa rehat yang cukup untuk kembali segar. Lantas, tidak hairanlah jika anda masuk tidur jam 10 malam dan bangun jam 6 pagi keesokannya, anda tidak akan merasa dahaga. Bagaimana keadaan ini boleh berlaku?

Dr. Rajbans Singh, Perunding Perubatan Dan Geriatik, Hospital Pantai Kuala Lumpur (HPKL), ada jawapannya. Ujarnya, terdapat mekanisme yang mengawal air dengan cara mengaktifkan sel yang berfungsi melepaskan hormon vasopresin yang dimiliki oleh setiap manusia. Pengeluaran hormon vasopresin yang tinggi ketika tidur, sekaligus membantu mengawal otak agar tidak merasa haus atau dahaga. Sekaligus turut mengawal rasa hendak terkencing ketika tidur. Keadaan ini menyebabkan tubuh sentiasa memiliki air yang cukup ketika tidur. Lantaran itu, Dr. Rajbans Singh mengingatkan masa yang terbaik bagi seseorang untuk minum air ialah sebelum berasa dahaga.

Namun tidak bagi orang yang mempunyai penyakit seperti kencing manis dan buah pinggang, mereka tidak dapat mengawal hormon tersebut untuk berfungsi dengan baik. Hal yang demikian memerlukan mereka menambah air untuk menggantikan kembali air yang telah dikeluarkan. Air juga merupakan bahan pelarut yang berfungsi mempergiatkan sistem penghadaman atau meningkatkan kadar pencernaan, supaya menyerap zat-zat dari makanan dengan sempurna. Ia juga menjadi pengangkutan yang mengekalkan kenormalan sistem pengedaran dan pembuangan dalam badan serta membantu mengumuhkan bahan toksin dan bahan asid dari badan. Para pengkaji percaya kadar air yang rendah akan merangsang kelompok sel yang disebut sebagai neuron osmosensery. Sel tersebut berfungsi mengalirkan neuron lain untuk melepaskan hormon vasopresin ke dalam aliran darah. Oleh sebab itu, hormon vasopresin akan meningkat ketika tidur sekaligus menyebabkan manusia tidak merasa haus,” ujarnya.

Hormon vasopresin pada dasarnya dibebaskan dari neuron melalui peredaran darah dan bertindak pada buah pinggang sebagai anti-diuretik apabila plasma darah menjadi lebih pekat. Sebaliknya, pengkaji mendapati, neuron melepaskan hormon vasopresin ke dalam otak, bukan di dalam darah, apabila cecair badan menjadi lebih cair daripada biasa. Biasanya, apabila cecair dalam badan lebih cair, maka sel neuron akan menjadi lebih membengkak. Walau bagaimanapun, kajian yang dilakukan oleh satu pasukan penyelidikan Jepun yang diketuai oleh Profesor Yasunobu Okada, Ketua Pengarah Institut untuk fisiologi sains (NIPS), dan Cik Kaori Sato, pelajar siswazah Universiti Siswazah Pengajian Lanjutan mendapati apabila hormon vasopresin bertindak dalam otak, saiz neuron tetap kekal walaupun bendalir badan menjadi lebih cair. Sekaligus membuktikan hormon vasopresin yang sebelum ini hanya dianggap berfungsi di dalam buah pinggang turut berfungsi di dalam otak.

Apapun, menurut Dr. Rajbans Singh, jumlah air yang hilang sebagai keringat adalah berbeza-beza antara seseorang dengan seseorang yang lain. Hal ini bergantung juga pada suasana sekitar, tahap kegiatan, dan saiz badan. Dalam kegiatan biasa, manusia mengeluarkan kira-kira 500-600 ml peluh sehari. Ujarnya, input air perlulah sekurang-kurangnya sama dengan output air yang dikeluarkan oleh badan.

Orang dewasa biasanya memerlukan air antara 8 hingga 12 gelas dalam sehari. Jumlah air yang diperlukan oleh kanak-kanak pula bergantung pada umur, berat, dan kegiatan fizikal mereka. Oleh sebab saiz tubuh mereka kecil, mereka akan mengalami penghidratan yang lebih cepat. Selain itu, keperluan air di dalam badan akan meningkat sekiranya kita banyak menghabiskan masa di luar rumah dalam cuaca panas, kerap bersenam, atau berada dalam bilik yang berhawa dingin. Air membentuk kira-kira 55-57 peratus dari berat badan kita dan mempunyai peranan yang penting dalam hampir setiap fungsi utama badan. Air berperanan melaraskan suhu badan di samping membawa nutrien dan oksigen ke sel, serta menghapuskan sisa. Air turut melindungi sendi serta mengawal organ dan tisu. Tanpa makanan, manusia dapat hidup selama lapan minggu, tetapi tanpa air manusia akan mati dalam masa tiga hari,” katanya dengan nada amaran.

Kita memperolehi air daripada cecair seperti air paip, susu, jus buah-buahan, kordial, minuman ringan dan sup. Makanan seperti nasi, roti, mi, buah-buahan, dan sayur-sayuran turut mempunyai sedikit air walaupun tidak cukup untuk memenuhi keperluan cecair kita,” terang Dr. Rajbans.

BANYAKKAN MINUM AIR MINERAL

Tidak ramai yang tahu bahawa setiap yang dimakan mempunyai kesan yang drastik pada badan dan pH badan. Apatah lagi sesetengah makanan yang diambil berasid manakala sesetengahnya pula beralkali. Kesemuanya itu akan meninggalkan kumuhan berasid, melainkan dibilas keluar dengan air alkali, ia akan bertambah sebagai deposit. Ujar Dr. Rajbans Singh, hanya dengan meminum lapan gelas air alkali setiap hari bukan sahaja membantu penghadaman, tetapi juga membantu menyingkirkan toksin yang terkumpul dalam usus yang juga penyebab penyakit.

Seperti sungai yang memerlukan air mengalir, begitu juga usus. Lebih banyak air yang diserap maka lebih banyaklah toksin yang dineutralkan dan lebih banyak toksin yang dibuang dari sistem badan. Kesihatan yang sempurna bermula dari usus yang bersih dan pembersihan bermula dengan air alkali,” jelasnya. Air juga diperlukan oleh haiwan ataupun tumbuhan. Air juga hidup. Ia mampu bereaksi terhadap sekelilingnya apatah lagi sistem tubuh badan.

Wednesday, March 5, 2014

TELITI 10 PERKARA SEBELUM BERHENTI


Saya bingung sangat ketika ini. Saya masih bekerja tapi langsung tidak memotivasi melakukannya. Saya sudah tidak ada hati mahu meneruskan kerja lagi. Namun saya belum nampak jalan jika saya berhenti kerja.”

Dilema ini mungkin dihadapi oleh ramai wanita. Namun anda tidak boleh menurut kata hati ini selagi masa depan belum terancang dengan baik. 10 perkara berikut perlu anda telitikan sebelum berhenti.

  1. Jangan berhenti lagi sekiranya masih kurang mental dan fizikal. Motivasi juga pendorong yang diperlukan 10 kali ganda apabila bekerja sendiri atau bekerja di rumah.
  2. Jangan kata 'saya sudah putus asa'. Ini kerana bekerja sendiri juga tidak ada istilah putus asa apabila kita mencari ruang dan peluang untuk mengukuhkan pendapatan. Memang ada suri terpaksa kembali bekerja kerana pendapatan hasil bekerja dari rumah tidak cukup untuk mampu menampung keperluan kos sara hidup.
  3. Sekiranya pendapatan masih terumbang-ambing, sangat perlu membuat persediaan tiga tahun lebih awal untuk tiga tahun pertama berhenti kerja.
  4. Sekiranya masih terumbang-ambing mengenal pasti pendapatan positif dan pendapatan aktif, maka jangan berhenti dahulu. Lakukan dan kenal pasti ketika masih bekerja dan lakukan secara sambilan. Kenal pasti bisnes atau kerja untuk dilakukan di rumah. Rujuk buku “Jana RM Dari Rumah” kerana di dalamnya sudah ada analisa awal untuk kenal pasti kerja atau bisnes yang sesuai untuk dilakukan.
  5. Jika belum ada kumpulan sokongan, cari dan dapatkan kumpulan sokongan. Kumpulan sokongan sangat penting, untuk kita berkongsi terutama ketika kita berada dalam keadaan kecewa dan memerlukan bantuan.
  6. Jangan berhenti dahulu sekiranya pendapatan kedua atau ketiga belum lagi stabil. Jangan fikir, okey selepas berhenti barulah boleh fokus untuk meningkatkan pendapatan. Ini mungkin mitos. Realitinya kalian akan bertarung mendapatkannya hanya RM10 sehari. Jadi kenal pasti lebih awal sekiranya mahu pendapatan bersih RM3,000 maka perlu usaha untuk mencari pendapatan bersih RM100 sehari. Begitulah seterusnya. Meletakkan sasaran juga perlu realistik dengan apa yang dilakukan. Usaha untuk mendapatkan RM100 sehari, tetapi masih lagi bertatih menjual dan hanya dapat RM10 sehari. Itu namanya buang masa dan tenaga, selalu tingkatkan usaha dan sasaran.
  7. Jika masih dalam 'zon selesa' jadi jangan berhenti dahulu. Maksudnya mudah berpuas hati dengan usaha dan pendapatan yang ada. Sedangkan masih banyak yang perlu diselesaikan. Selalu hadir dengan mana-mana gabungan kumpulan suri rumah proaktif dalam bidang yang anda minat.
  8. Jika tidak ada mentor, mula cari sekarang. Selepas mengenal pasti minat, kepakaran dan jenis bidang yang ingin diceburi, mula mencari mentor dalam bidang tersebut dan ikut langkah yang sudah disediakan. Bergabung dengan suri yang sedia ada yang sudah sukses dalam bidang tersebut. Jika bidang masakan, maka carilah mentor dalam bidang masakan, jangan pula sibuk hadir seminar kecantikan. Jika bidang jahitan, maka carilah mentor dan suri yang sudah sukses dalam bidang tersebut.
  9. Jangan keliru dan celaru. Ramai usahawan suri dari rumah, mempunyai budaya ikutan dan ikut. Mereka akan mengatakan 'OK ini sudah baik untuk saya' Ok ini sangat bagus, jadi saya mahu jual'. Sebelum menjual kenal pasti bidang yang mahu diterokai, kemudian kenal pasti sasaran mana yang mahu dituju, bukan main terjah. Sediakan platform awal untuk mengenal pasti prospek awal dan mula kumpulkan mengikut bidang yang kita pilih.
  10. Jika sudah bersedia khususnya selepas tiga tahun pertama berusaha, maka bolehlah menghantar surat 'cinta' buat majikan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...