MAKLUMAN PENTING!! Kepada ahli perpustakaan, anda DIWAJIBKAN membawa Kad Pengenal Pegawai untuk membuat pinjaman buku. Sekiranya tiada, sila buat kad tersebut di Bahagian Operasi Dan Kebombaan Negeri masing-masing. Sila maklum pada kami sekiranya anda telah bertukar ke mana-mana tempat pertukaran bagi pengemaskinian data ahli anda. Kerjasama anda amat dihargai. Terima kasih.

Friday, May 9, 2014

Pertandingan Celik Minda Anjuran Unit Pusat Sumber Dan Dokumentasi





Syarat Penyertaan :
1) Terbuka kepada semua kakitangan JBPM
2) Setiap seorang hanya dibenarkan menghantar 1 borang penyertaan sahaja.
3) Borang penyertaan boleh didapati di perpustakaan JBPM.
4) Pertandingan bermula dari 12 hingga 23 Mei 2014.
5) Borang penyertaan hendaklah dihantar selewat-lewatnya pada 23 Mei 2014.
6) Keputusan pertandingan adalah muktamad.

Continue Reading
No comments
Share:

Thursday, May 8, 2014

CARA DIDIK ANAK HARGAI WANG

Ada kalanya ibu bapa tidak dapat menolak kehendak anak-anak yang mahukan permainan. Biarpun ratusan ringgit harganya, ibu bapa berusaha untuk mendapatkannya agar dapat memuaskan hati anak-anak. Tidak salah jika memenuhi impian anak-anak ini. Bagaimanapun ibu bapa harus mendidik anak-anak mengenai nilai wang dan tidak semua yang dihajati akan menjadi milik mereka.

Sesuai dengan kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Ibu bapa perlu memberi pendedahan kepada anak-anak ketika mereka masih kecil, iaitu seawal mereka tahu mengira dan mengenal nilai wang. Terdapat pelbagai cara yang boleh dilakukan ibu bapa bagi memastikan anak-anak tahu menghargai wang. Antaranya :

Ajar nilai harga
Pada usia tiga hingga lima tahun, anak-anak dapat mengetahui mengenai wang menerusi pemerhatian dan perlakuan ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa boleh membawa anak ketika membeli belah dan menerangkan mengenai wang dengan menunjukkan harga barang. Mungkin pada mulanya mereka kurang memahami namun lama kelamaan setelah menerima pendedahan, mereka akan mengetahui mengenai nilai duit.

Latih anak untuk membayar
Selepas makan atau membeli barangan, berikan wang kepada anak dan minta dia membayarkan di kaunter dengan ditemani ibu bapa. Cara ini, mereka dapat mengetahui untuk mendapatkan barangan harus menggunakan wang. Cara ini juga membolehkan mereka terus menghargai wang dan menilai proses pertukaran wang menerusi pemberian baki yang diberikan. Terangkan kepada anak mengenai situasi yang berlaku. Sebaiknya, gunakan gaya bahasa mudah supaya si kecil yang belum bersekolah akan lebih memahami.

Sistem elaun
Bagi anak-anak yang bersekolah rendah, berikan elaun setiap hari atau secara mingguan supaya mereka berpeluang menggunakan wang dengan bijak dan menyimpan baki yang ada di tangan mereka. Pemberian elaun boleh mendidik mereka menggunakan sumber kewangan secara bijak serta berwaspada ketika membeli supaya dapat berjimat cermat.

Babitkan anak dalam merancang percutian
Sebelum memilih destinasi pelancongan, pastikan anak-anak turut terbabit dalam pemilihan lokasi serta aktiviti yang akan diadakan. Beri peluang kepada mereka untuk membuat keputusan kerana mereka akan dapat belajar mengenai perbelanjaan yang akan ditanggung ibu bapa serta jumlah duit yang akan dikeluarkan. Katakan juga kepada anak-anak bahawa setiap pilihan ada kelebihan dan kekurangannya.

Libatkan anak ketika membuat bajet keluarga
Pembabitan ahli keluarga adalah sangat penting ketika membuat bajet keluarga. Ini bagi memastikan anak-anak lebih tahu mengenai nilai wang dan bertanya harga sesuatu barang. Mereka juga tidak akan meminta dibelikan barang di luar kemampuan ibu bapa kerana sejak awal sudah ditetapkan bajet yang harus diikuti.



Elak mengajar anak mengenai barangan berjenama
Ada sesetengah ibu bapa mudah berasa kasihan dengan anak-anak dan berupaya memenuhi permintaan mereka dengan membelikan barangan mahal atau berjenama. Sebenarnya sejak kecil mereka langsung tidak mengenali jenama dan harga barangan sekiranya ibu bapa tidak mengajarnya. Jadi sekiranya anda tidak mahu anak-anak membesar menjadi remaja yang meminta-minta dibelikan barangan mahal dan mewah, sebaiknya latih mereka untuk menghargai wang dan betapa susah untuk mendapatkannya sejak kecil lagi.

Galakkan menabung
Mengajar anak-anak menabung untuk mendapatkan sesuatu barang adalah cara terbaik mendidik mereka menghargai wang. Cara ini membantu mereka untuk mendapat lebih memahami kaedah mendapatkan sesuatu barang dengan berusaha dan bukan meminta daripada ibu bapa semata-mata.

Bekerja sendiri
Bagi anak-anak yang sudah bersekolah dan menunggu keputusan peperiksaan, bantu mereka menjadi lebih berdikari dengan menggalakkan mereka menambahkan simpanan dengan bekerja sambilan terutamanya pada cuti persekolahan. Ajarkan juga cara mengendalikan rekod kewangan yang boleh memantau pendapatan dan perbelanjaan.

Ibu bapa contoh terbaik
Ibu bapa harus menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak-anak. Tonjolkan teladan yang baik seperti mengira balik wang baki yang diterima selepas membayar dan tidak terus memasukkan ke dalam dompet. Biarpun tindakan sebegini agak kecil, ia memberi impak yang besar kepada anak untuk menilai harga wang.

Perbincangan
Sentiasa berbincang dengan anak mengenai aspek praktikal pengurusan kewangan seperti menabung dan membuat pembelian bijak. Ini kerana pengurusan wang yang bermanfaat boleh membantu anak-anak menetapkan matlamat dalam hidup mereka.


Continue Reading
No comments
Share:

Wednesday, May 7, 2014

AWAS! PEMEGANG KAD DEBIT ATAU KAD KREDIT

Seorang pakar pengurusan kewangan, Sunthara Segar telah berkongsi cara bagaimana sindiket menggunakan butir peribadi kad bank anda. Kad boleh jadi kad debit atau kad kredit. Kita lihat dahulu dialog bagaimana perangkap dipasang melalui temu bual telefon, diikuti dengan ringkasan maklumat penting apa yang mereka cuba dapat dan apa yang perlu dibuat jika anda menerima panggilan telefon sedemikian.

Babak bermula dengan panggilan dari 'private number' dari seorang wanita berbudi bahasa yang menyamar sebagai wakil atau pekerja 'telemarketing' institusi kewangan. Pihak satu lagi kita gelar “mangsa” walaupun sebenarnya dia tidak mengalami kerugian.

Wanita : Selamat pagi boleh bercakap dengan Encik XXX?
Mangsa : Saya bercakap.
Wanita : Saya daripada pihak bank ingin membuat pengesahan berkenaan kad bank Encik.
Mangsa : Awak dari mana?
Wanita : Saya daripada pusat panggilan 1Malaysia, ingin membuat pengesahan mengenai kad bank Encik. (Mangsa pernah mendapat corak panggilan sebegini dari bank beliau jadi belum timbul syak wasangka)
Mangsa : Oh baik!
Wanita : Saya cuma nak buat pengesahan mengenai kad bank yang encik gunakan sekarang. Boleh saya tahu alamat penuh?
Mangsa : Alamat saya ….
Wanita : Boleh dapatkan nombor IC?
Mangsa : xxxxxxxxxxx
Wanita : Encik masih lagi menggunakan kad ini ya?
Mangsa : Ya saya …
Wanita : Sudah berapa lama?
Mangsa : Hampir tiga tahun.
Wanita : Ok saya ini membuat pengesahan, kad debit Encik bermula dengan 1234 5678
Mangsa : Ya betul.
Wanita : Boleh lengkapkan nombor 8 terakhir
Mangsa : 8765 4321
Wanita : Terima kasih atas kerjasama yang diberikan. Sekarang, encik ada tanda tangan di belakang kad debit ke?
Mangsa : Ya, ada.
Wanita : Di sebelah tanda tangan ada nombor ahli. Boleh bacakan saya nombor ahli kad Encik?
Mangsa : 000
(Sekarang pengenalan produk atau perkhidmatan akan dimulakan oleh wanita tadi)

Wanita : Sekarang saya ingin memberitahu Encik maklumat mengikut laporan kami. Pihak kerajaan ada menyediakan kad i-klinik di mana semua rakyat Malaysia berhak mendapatkan kad ini. Ia boleh digunakan ketika encik, minta maaf, andai kata kemalangan atau ditimpa musibah, pemegang kad diberi potongan 30-70% di panel klinik. Encik juga boleh membawa ibu dan ayah ke klinik dengan percuma, juga boleh diberikan diskaun pelancongan dengan kad ini. Saya akan menghantar kad ke alamat yang Encik berikan. Yuran keahlian adalah sebanyak RMxxx. Saya telah pun membuat penolakan dari kad bank encik.
(Mangsa mula sedar ada yang tidak kena)

Mangsa : Eh! Awak cakap tadi hendak buat pengesahan kad saya, kenapa tiba-tiba awak hendak ambil duit saya? Ada saya cakap mahu beli kad ini?
Wanita : Encik telah berikan saya butiran Encik bermakna Encik setuju.
(Pada tahap ini sudah ada pergeseran, wanita ini memilih untuk meneruskan ugutan halus walaupun alasan yang diberikan tentang asas persetujuan memang tidak munasabah)

Mangsa : Awak jangan ingat saya hendak sangat dengan i-kad itu.
Wanita : Ok, tidak apa. Kalau encik tidak hendak saya tidak akan hantar. Tetapi duit sudah ditolak, bila-bila masa hendak kad tersebut, boleh hubungi kami dan kami akan hantarkan. Encik bekerja di mana?
Mangsa : Saya tidak perlu kad awak. Saya dapat semua kemudahan perubatan termasuk keluarga, saya tidak mahu, tolong batalkan.
(Akibat kedegilan mangsa tidak mahu menyerah kalah, wanita naik angin dan mula mengundur diri.)

Wanita : Encik tidak boleh buat apa-apa lagi. Mahu tak mahu saya sudah tolak duit Encik.
Mangsa : Awak kerja di mana, dengan siapa?
Wanita : Saya kerja di xxxx dan ini adalah dari kerajaan. Ok Encik ada apa-apa lagi, kalau tiada terima kasih kerana berikan kerjasama (terus letak telefon)

Mangsa lekas-lekas menyemak baki akaun bank secara online. Nasib baik duit masih ada, beliau kemudian bergegas ke bank untuk meminta nasihat. Pegawai bank mencadangkan agar mangsa batalkan kad sekarang dan buat kad lain bagi memastikan keselamatan akaun.

Pengajaran teknikal : 8 digit pertama disebutkan adalah nombor yang sama untuk pemegang kad. 8 digit terakhir pula unik dan terpaksa diminta/korek daripada mangsa. Nombor ahli kad sebelah tanda tangan adalah nombor yang paling penting untuk pengesahan kad.

Continue Reading
No comments
Share:

Tuesday, May 6, 2014

10 CARA KURANGKAN MASALAH DENGKURAN

  1. Elakkan bekerja terlalu berat.
  2. Rajinkan membersihkan saluran pernafasan iaitu rongga hidung dan mulut sebelum tidur.
  3. Jauhkan daripada tabiat merokok atau mengambil minuman keras.
  4. Kurangkan pengambilan makanan berlemak kerana ia boleh mengakibatkan masalah gastrik sekali gus mengganggu saluran pernafasan.
  5. Banyakkan bersenam untuk kurangkan berat badan.
  6. Cuba tidur dalam keadaan mengiring. Pada masa sama, pastikan kedudukan kepala lebih tinggi daripada kaki bagi melancarkan saluran pernafasan.
  7. Mandi menggunakan air suam.
  8. Campurkan sedikit garam dalam air mandian bagi mengelakkan hidung tersumbat.
  9. Segera tukar bantal anda kerana mungkin ia berdebu dan membuatkan anda alergi.
  10. Minum banyak air kerana mungkin anda mengalami dehidrasi sewaktu tidur.

Continue Reading
No comments
Share:

Monday, May 5, 2014

6 TIP ATASI NAFSU MAKAN

Bukan mudah mengawal nafsu makan. Apatah lagi melihatkan hidangan yang digemari seperti ayam golek, daging bakar, nasi beriani dan lain-lain. Boleh terseksa dibuatnya. Namun, ada yang menggunakan kaedah tidur yang cukup, minum banyak air putih dan bersenam untuk menghilangkan keinginan berkenaan. Bagaimanapun bukan semuanya berjaya, lebih-lebih lagi apabila anda memang seorang yang 'pemakan'. Ramai pakar pemakanan berpendapat, adalah perlu mengawal pengambilan makanan yang mungkin nampak lazat tetapi mendatangkan bahaya kepada tubuh badan dalam satu jangka masa panjang. Mungkin ada yang menggunakan kaedah mencatat apa sahaja makanan yang diambil dalam jurnal harian tetapi lihat kembali sejauh mana keberkesanannya untuk mengurangkan nafsu makan. Sebenarnya, masih ada beberapa cara mudah yang boleh dipraktikkan untuk mengatasi masalah tersebut. Antaranya ialah :

Makan epal sebelum ambil makanan berat
Umum mengetahui bahawa buah-buahan dan sayur-sayuran sangat baik untuk mengekalkan tahap kesihatan. Seperti epal, di samping rasa sedap ia juga membantu mengawal keinginan makan dalam jumlah yang banyak. Amalkannya setiap kali sebelum makan kerana epal kaya dengan serat sekali gus membuatkan anda cepat kenyang.

Minum teh
Makan dengan jumlah banyak sering dikaitkan dengan gangguan emosi, tekanan atau kebosanan. Lazimnya, kebanyakan individu yang berhadapan masalah ini merasa ingin makan walaupun bukan disebabkan lapar. Cubalah minum teh hitam dan lihat 30 minit kemudian. Dikatakan, rasa lapar itu akan hilang sebanyak 47 peratus malah anda juga tidak lagi berkeinginan untuk makan atau membuka peti sejuk tanpa sebab.

Ambil sarapan sihat
Melambatkan waktu sarapan adalah alasan yang kerap diberikan oleh individu yang 'kuat' makan. Boleh dikatakan waktu siangnya, ada sahaja kudap-kudapan yang masuk ke mulut. Di sinilah pentingnya pengambilan sarapan yang sihat. Anda akan berasa kenyang sekali gus mengawal keinginan untuk makan sepanjang hari. Sebaiknya, ambillah makanan yang mengandungi unsur protein yang tinggi tanpa lemak tersembunyi kerana ia membuatkan anda berasa kenyang.

Bijak pilih makanan
Setiap makanan mengandungi nutrisi yang berbeza. Sebagai contoh, 100 kalori dalam hidangan oat lebih mengenyangkan berbanding 100 kalori snek kentang. Antara makanan yang dicadangkan ialah kekacang, bijirin jagung dan buah-buahan.

Praktik berjalan santai
Ketika perut berasa lapar, makanan yang paling mudah diambil ialah kudap-kudapan. Sebolehnya elakkan makanan sebegitu kerana ia kurang baik untuk kesihatan. Atasi keinginan itu dengan berjalan-jalan mungkin di sekitar kawasan rumah atau di tempat-tempat rekreasi. Peruntukan sekurang-kurangnya 15 hingga 20 minit. Terdapat satu kajian mengatakan, individu yang melakukan aktiviti berjalan kaki sebelum makan coklat hanya mengambil setengah kalori berbanding mereka yang tidak berjalan-jalan sebelum makan.


Menghidu bau makanan
Salah satu cara yang boleh dilakukan untuk mengurangkan nafsu makan adalah dengan mencium aroma makanan. Bau vanila atau buah citrus diketahui berupaya menurunkan keinginan mengambil makanan ringan. Sementara bau bunga melati pula dikatakan mampu mengurangkan rasa untuk makan coklat. Jadi, bagi meredakan rasa lapar, anda disarankan menghidu bau pudina.


Continue Reading
No comments
Share:

Friday, May 2, 2014

Sambutan Hari Bomba Sedunia

Assalamualaikum...

Jom ramai-ramai kita meriahkan hari Anggota Bomba Sedunia yang akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 4 Mei 2014...

"Kami anggota bomba,
Di seluruh negara,
Bersiap dan sedia,
Di setiap masa.

Mengawal kebakaran,
Di kota dan di desa,
Menyelamatkan nyawa,
Dan juga harta benda.

Rukun negara kami junjung bersama,
Penuh setia dengan semangat waja,
Dari Perlis hinggalah ke Sabah,
Mendukung etika bekerja.

Kepada rakyat semua,
Marilah bekerjasama,
Untuk menghindarkan,
Segala malapetaka.

Demi kesejahteraan,
kita bersama,
Barulah kita hidup,
Aman damai selamanya. "

Continue Reading
No comments
Share:

Thursday, May 1, 2014

Selamat Hari Pekerja



 Assalamualaikum,

Kami ingin mengucapkan Selamat hari Pekerja kepada semua rakyat Malaysia...

Continue Reading
No comments
Share:

Unit Pusat Sumber Dan Dokumentasi, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia